Isnin, 17 Disember 2018 | 8:24am
Lionel Messi meneruskan kecemerlangan dengan menjaringkan hatrik pertamanya musim ini. - Foto EPA
Lionel Messi (kanan) berdepan dengan pemain Levante, Erick Cabaco dalam aksi La Liga di Valencia. - Foto EPA

Hatrik Messi benam Levante

MADRID: Lionel Messi meneruskan kecemerlangan dengan menjaringkan hatrik pertamanya musim ini sekali gus yang ke-31 di La Liga bagi membantu Barcelona membenam Levante 5-0 bagi mendahului liga dengan perbezaan tiga mata, awal pagi tadi.

Pemain berusia 31 tahun dari Argentina itu tiba di Valencia dengan menjaringkan dua sepakan percuma menarik pada pertemuan menentang Espanyol hujung minggu lalu.

Dia menjaringkan 20 gol setakat ini merusi persembahan hebatnya dan bergandingan dengan Luis Suarez untuk gol pembukaan pada minit ke-35 dan juga gol kelima oleh Gerard Pique.

Barca kelihatan tertekan selepas Atletico Madrid dan juga pasukan tempat kedua, Sevilla masing-masing menyamai jumlah mata bersama gergasi itu.

Tetapi selepas merehatkan bintang utama bagi perlawanan kumpulan Liga Juara-Juara menentang Tottenham pertengahan minggu lalu, jurulatih Ernesto Valverde menyaksikan skuadnya lebih segar meraih kemenangan ketiga liga berturut-turut tanpa gawang mereka dibolosi lawan.

Penyerang Barcelona, Luis Suarez (tengah) merembat bola ke gawang sambil cuba dihalang penjaga gol Levante, Oier Olazabal (kiri) dalam aksi perlawanan La Liga di Valencia. - Foto EPA

"Pada awalnya ia adalah sukar, mereka menekan kami dan mempunyai peluang yang terkena tiang gol, " kata Valverde.

Levante memulakan perlawanan dengan garang dan penjaga gol pelawat, Marc-Andre ter Stegen dipaksa untuk menyelamatkan percubaan awal pemain Ghana,  Emmanuel Boateng.

"Saya gembira kami menang di sini, kerana tahun lalu mereka mengatasi kami dengan lima jaringan, jadi kami tahu ancaman Levante," kata Valverde.

Sementara itu Sevilla kembali merampas tangga kedua selepas jaringan Ever Banega dan Pablo Sarabia pada separuh masa kedua membolehkan mereka menang 2-0 ke atas Girona.

Skuad Pablo Machin tidak tewas dalam tujuh aksi liga sejak kecundang 4-2 di Barcain pada Oktober lalu. - AFP

Berita Harian X