Ahad, 16 Disember 2018 | 8:12pm
PEMAIN pertahanan Shahrul Saad (tengah) diasak pemain Vietnam, Nguyen Anh Duc (kanan) pada aksi final kedua Piala Suzuki AFF 2018 di Stadium My Dinh Vietnam. - Foto MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Gol ofsaid bukan alasan – Shahrul

PEMAIN pertahanan negara, Shahrul Saad tidak mahu menjadikan jaringan kemenangan kontroversi Vietnam Nguyen Anh Duc sebagai alasan kegagalan mereka merangkul gelaran Piala AFF di pentas akhir, semalam.

Pada aksi final kedua di Stadium Nasional My Dinh itu, skuad Harimau Malaya dikejutkan dengan gol tunggal perlawanan seawal minit keenam Anh Duc yang mendapat bantahan pemain negara kerana dikatakan ofsaid.

Pengadil perlawanan, Alireza Faghani enggan melayan bantahan itu sekali gus memberikan kemenangan agregat 3-2 kepada pasukan tuan rumah.

Menurut Shahrul, apa yang berlaku itu harus ditelan dan dia bersama rakan sepasukan memohon maaf kerana gagal menyempurnakan impian penyokong Malaysia untuk membawa pulang trofi kali kedua selepas 2010.

“Kekalahan ini amat mengecewakan. Gol itu adalah ofsaid tapi kami tidak boleh gunakan itu sebagai alasan. Kami cuba bangkit tapi tidak berjaya.

“Saya mahu memohon maaf kepada penyokong. Kami akan belajar sesuatu daripada kekalahan ini,” kata pemain Perak itu.

Sementara itu, Aidil Zafuan Abd Radzak yang bergandingan bersama Shahrul di pertahanan tengah percaya kejayaan Harimau Malaya melangkah ke final membuktikan mereka juga boleh bersaing dengan pasukan handalan seperti Vietnam dan Thailand.

“Kami sudah berikan segala yang termampu. Siapa sangka Malaysia yang bukan pasukan pilihan boleh layak ke final.

“Cuma kami tidak bernasib baik di final. Melepaskan gol awal amat menyukarkan kami bangkit. Dalam final, apa saja boleh berlaku. Kami terus berusaha tapi masih tidak berjaya,” katanya.

1572 dibaca
Berita Harian X