Ahad, 16 Disember 2018 | 5:46pm
AKSI Sumareh (kanan) pada perlawanan akhir kedua Piala Suzuki AFF 2018 di Stadium My Dinh, Vietnam, semalam. Foto Mohammad Shahril Badri Saali

Saya minta maaf - Sumareh

KUALA LUMPUR: Ia mungkin penampilan sulung yang mengecewakan bersama Harimau Malaya di Piala AFF, namun pemain naturalisasi negara kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh mengakui sedia beraksi lagi bersama pasukan sekiranya khidmatnya masih diperlukan.

Pemain berusia 24 tahun itu juga memohon maaf kepada penyokong negara kerana tidak mampu membantu Harimau Malaya memenangi Piala AFF buat kali kedua.

“Setiap pemain beraksi dengan baik dan saya cukup bangga dengan mereka sepanjang kempen kali ini.

“Minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana kami gagal memenangi Piala AFF untuk negara tetapi jika ada peluang sekali lagi, saya sedia melakukannya.”

Pemain sayap itu jelas kecewa kerana Harimau Malaya gagal bangkit selepas Vietnam menjaringkan gol awal untuk memastikan kemenangan menerusi agregat 3-2 di Hanoi.

Dia mengakui ia bukanlah persembahan terbaik Harimau Malaya dan setiap orang mengetahuinya.

“Bukan saya saja, setiap pemain di dalam pasukan merasai kekalahan itu tetapi ia bukanlah hari bertuah untuk kami,” katanya.

Selepas dua bulan bersama dalam skuad dan barisan kejurulatihan, Sumareh kini mahu kembali ke pangkuan keluarganya.

“Keluarga saya sering memberikan kata-kata semangat selepas tamat perlawanan,” katanya.

Sumareh akan berehat sebulan sebelum kembali menyertai Pahang untuk kempen Liga Malaysia 2019.

Berita Harian X