Ahad, 16 Disember 2018 | 11:00am
MAURICIO Pochettino. - Foto EPA

Tiada yang mustahil untuk Spurs

LONDON: Tottenham seharusnya memanfaatkan inspirasi kemaraan kelab itu ke peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara untuk mencabar trofi Liga Perdana, kata pengurus, Mauricio Pochettino.

Selepas mengikat gergasi Sepanyol, Barcelona 1-1 di laman lawan untuk mara ke peringkat kalah mati saingan elit Eropah itu, minggu lalu, Spurs hanya dibezakan lima mata dengan pendahulu, Manchester City susulan kemenangan 1-0 ke atas Burnley, awal pagi tadi.

Jaringan pemain gantian, Christian Eriksen pada masa kecederaan di Wembley itu mengekalkan kedudukan Tottenham di tangga ketiga dan ketinggalan tiga mata di belakang Liverpool yang akan bertemu Manchester United, malam ini.

Meskipun sedar ramai pemerhati percaya pemburuan liga kali ini terarah di antara City dan Liverpool, Pochettino percaya kebangkitan yang dilakukan skuad kendaliannya di pentas Eropah membuktikan apa saja boleh berlaku.

“Kami berada di posisi yang amat baik,” kata Pochettino yang terpaksa berdepan pelbagai masalah musim ini antaranya penangguhan ke stadium baharu, ketiadaan pembelian musim panas serta isu kecederaan pemain selepas Piala Dunia Russia berakhir.

“Realitinya adalah selepas 17 perlawanan kami di tangga ketiga. Ia adalah pencapaian hebat untuk kami. Segala-galanya tidak mustahil. Lihat apa yang berlaku di Liga Juara-Juara selepas tiga perlawanan.

“Kami hanya mempunyai satu mata dan kami percaya kami mampu melakukannya dan pada akhirnya, kami mara ke peringkat seterusnya. 

“Ada banyak perkara yang kamu boleh pertimbangkan, tetapi apa yang paling penting adalah kepercayaan dengan cara kerja kamu dan jika kamu memberikan 100 peratus, segala-galanya tidak mustahil.”

Eriksen turut menjadi pemain yang dikeluarkan daripada bangku simpanan untuk Spurs menewaskan Inter Milan, bulan lalu ketika hanya kemenangan mampu mengekalkan aksi mereka di saingan berkenaan

Dia sekali lagi menampilkan magis sama ketika menewaskan penjaga gol Burnley,  Joe Hart, awal pagi tadi . - AFP

Berita Harian X