Ahad, 16 Disember 2018 | 12:40am
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola. - Foto Reuters

Jesus dapat pujian Guardiola

MANCHESTER: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola memuji aksi dipamerkan Gabriel Jesus yang menamatkan kemarau jaringan apabila menyumbat dua gol bagi membantu pasukan itu melakar kemenangan 3-1 ke atas Everton dalam saingan Liga Perdana Inggeris, malam tadi.

Jesus yang gagal menjaringkan gol dalam saingan liga selama empat bulan membuka tirai jaringan buat City pada pertengahan babak pertama sebelum dia meledak gol kedua pada awal babak kedua perlawanan.

Dominic Calvert-Lewin merapatkan jurang buat Everton tetapi kebangkitkan kelab itu dimusnahkan Raheem Sterling yang menjaringkan gol ketiga buat City bagi membolehkan kelab itu merampas kembali kedudukan teratas liga.

Mereka kini berkelebihan dua mata ke atas pencabar utama, Liverpool namun The Reds berpeluang merampas kembali tangga teratas jika berjaya menewaskan Manchester United, awal pagi esok.

Pemain Manchester City, Gabriel Jesus ketika menjaringkan gol kedua pasukan. - Foto Reuters

"Penyerang perlu menjaringkan gol. Perbezaannya hari ini adalah dia menjaringkan gol ketika dia berada di kedudukan yang lebih baik," kata Guardiola selepas tamat perlawanan.

Sejak beberapa minggu lalu, ramai pihak melahirkan kebimbangan mengenai jentera serangan City selepas Sergio Aguero mengalami kecederaan tetapi dua gol dijaringkan Jesus membuktikan kelab itu tidak ketandusan penyerang berkualiti.

"Keyakinan saya kembali kerana keluarga saya berada di sini dan ia sangat membantu. Saya memerlukan keluarga saya pada waktu ini.

"Tahun ini adalah lebih sukar kerana kelab lain bermain dengan lebih baik. Saya fikir penting untuk kami kembali berada di tangga teratas," kata penyerang antarabangsa Brazil itu. - AFP

Berita Harian X