Sabtu, 15 Disember 2018 | 11:59pm
PEMAIN Malaysia menghargai penyokong selepas taamat perlawanan Piala AFF 2018 di di Stadium My Dinh, Vietnam. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

PM tetap tabik kepada Harimau Malaya

BANGKOK: Walaupun pasukan Malaysia gagal menjuarai Piala AFF 2018 selepas tewas dengan agregat 3-2 di tangan Vietnam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkeyakinan skuad Harimau Malaya berpotensi untuk menang pada masa akan datang.

Katanya, skuad negara mempamerkan permainan yang baik.

"Saya berharap pemain dan jurulatih kita tidak kecewa dan sebaliknya melihatnya sebagai pengalaman untuk meningkatkan lagi kebolehan mereka.

"Saya yakin dengan sedikit lagi usaha kita mempunyai potensi untuk memenangi perlawanan-perlawanan berikutnya," kata Dr Mahathir selepas menyaksikan siaran perlawanan final kedua di antara Malaysia dan Vietnam, di sini malam ini.


REAKSI… Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali selepas menyaksikan perlawanan akhir kedua Piala AFF 2018 Malaysia menentang Vietnam selepas majlis makan malam di hotel penginapan di Bangkok, hari ini. - Foto BERNAMA

Dr Mahathir sebelum itu menghadiri majlis makan malam anjuran Universiti Rangsit (RSU).

Mengulas perlawanan itu, Perdana Menteri menyifatkan nasib tidak menyebelahi Malaysia.

"Walaupun mereka beberapa kali mencuba di depan gol Vietnam, entah bagaimana bola itu sampai ke pihak Vietnam dan mereka tendang jauh daripada gol mereka... dengan itu peluang untuk kita score (jaringkan gol) pun makin sukar," katanya lagi.

Dr Mahathir berada di sini untuk menerima ijazah doktor kehormat dalam kepimpinan sosial, perniagaan san politik daripada RSU. - BERNAMA

Berita Harian X