Sabtu, 15 Disember 2018 | 10:40pm

Impian Harimau Malaya berkubur di Hanoi

KUALA LUMPUR: Impian Harimau Malaya untuk merangkul kejuaraan Piala AFF buat kali kedua berkubur di Hanoi apabila tewas 0-1 kepada Vietnam pada aksi final kedua, sebentar tadi.

Kekalahan di Stadium My Dinh itu menyaksikan Vietnam menamatkan penantian selama 10 tahun untuk merangkul kejuaraan kedua mereka menerusi agregat 3-2, selepas aksi pertama di Bukit Jalil, Selasa lalu berkesudahan 2-2.

Kali terakhir Vietnam muncul juara pada 2008 selepas menewaskan Thailand juga dengan agregat 3-2 sementara Harimau Malaya pula merangkul kejuaraan tunggal trofi berprestij di rantau Asia Tenggara itu pada edisi 2010.

Sejak 2010, ini adalah kali kedua Harimau Malaya mengalami kekecewaan di pentas final dalam tempoh empat tahun selepas tewas dengan agregat 4-3 kepada Thailand pada edisi 2014.

Pada aksi sebentar tadi, Harimau Malaya dikejutkan dengan jaringan Vietnam seawal minit keenam menerusi penyerang berpengalaman, Nguyen Anh Duc yang menyudahkan hantaran Nguyen Quang Hai.

Anak buah Tan Cheng Hoe cuba bangkit dengan beberapa gerakan dan Mohamadou Sumareh hampir menyamakan kedudukan lima minit kemudian, namun kuisan ke belakang pemain Pahang itu sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol tuan rumah.


Pemain kebangsaan, Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak ketika diasak oleh penjaga gol Vietnam, Dang Van Lam pada aksi perlawanan akhir kedua Piala AFF 2018 di Stadium My Dinh, malam ini. - Foto BERNAMA

Pemain kebangsaan, Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak ketika diasak oleh pemain Vietnam pada aksi perlawanan akhir kedua Piala AFF 2018 di Stadium My Dinh, Vietnam malam ini. - Foto BERNAMA

Kelemahan jentera tengah dalam melakukan hantaran lebih berbahaya kepada penyerang dilihat masih membelenggu Harimau Malaya sekali gus menyaksikan tidak banyak percubaan berjaya dilakukan.

Percubaan terbaik Harimau Malaya hadir pada minit ke-44 menerusi rembatan deras Syahmi Safari tetapi berjaya ditepis penjaga gol Vietnam, Dang Van Lam.

Safawi Rasid juga terlepas peluang untuk meledak gol penyamaan apabila sepakan percumanya lapan minit selepas bersambung babak kedua mudah ditepis keluar Van Lam.

Corak permainan bertahan dipamerkan Vietnam di samping mengharapkan serangan balas tampak menyukarkan Harimau Malaya untuk menembusi kubu mereka.

Kemasukan Syafiq Ahmad, Akhyar Rashid dan Shahrel Fikri dalam tempoh kira-kira 15 minit terakhir juga gagal memberi impak besar buat Harimau Malaya mencipta kebangkitan.

Sebaliknya, malang terus menimpa anak buah Cheng Hoe apabila tonggak pertahanan tengah Shahrul Saad dilayangkan kad merah pada masa kecederaan.

5037 dibaca
Pemain Vietnam meraikan jaringan gol pada aksi perlawanan akhir kedua Kejohanan Piala AFF 2018 di Stadium My Dinh malam ini. - Foto BERNAMA
Penjaga gol Vietnam, Dang Van Lam (kanan) menepis keluar bola ketika diasak pemain Malaysia, Aidil Zafuan (dua dari kanan) pada perlawanan akhir kedua Piala AFF 2018 di Stadium My Dinh, Vietnam. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Pemain Malaysia, Safawi Rasid (dua dari kanan) meloloskan diri daripada pemain Vietnam pada perlawanan akhir kedua Piala AFF 2018 di Stadium My Dinh, Vietnam. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Penyokong Malaysia dan Vietnam pada perlawanan akhir kedua Piala AFF 2018 di Stadium My Dinh, Vietnam. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Pemain Malaysia, Mohamadou Sumareh (kanan) mengawal bola ketika dibayangi pemain Vietnam, Nguyen Quang Hai pada perlawanan akhir kedua Piala AFF 2018 di Stadium My Dinh, Vietnam. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut serta bersama Ultras Malaya untuk memberikan sokongan pada perlawanan akhir kedua Piala AFF di Stadium My Dinh. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X