Jumaat, 14 Disember 2018 | 10:34pm
KEHADIRAN semula Koscielny menjadi khabar gembira buat jentera pertahanan Arsenal. - Foto AFP

Koscielny kembali ukir senyuman

LONDON: Kapten Arsenal, Laurent Koscielny berkata dia akhirnya boleh tersenyum selepas meraih kepulangan semula yang sempurna susulan kecederaan ketika Gunners mencatat kemenangan 1-0 ke atas Qarabag dalam aksi Liga Europa, awal pagi tadi.

Pertahanan Perancis itu terpaksa berehat selama tujuh bulan selepas menjalani pembedahan pada Mei lalu susulan kecederaan otot tendon achilles ketika Arsenal bertemu kelab Sepanyol, Atletico Madrid dalam aksi separuh akhir Liga Europa musim lalu.

Lebih mengecewakan, dia turut tersisih daripada kem Piala Dunia Perancis yang memenangi kejuaraan di Russia tetapi pemain berusia 33 tahun itu berkata dia kini segar dan bermotivasi untuk memulakannya semula.

“Saya kembali memperoleh senyuman saya dan saya menikmatinya bersama kelab saya. Saya akan memulakan musim saya sekarang,” kata Koscielny.

Tidak banyak yang perlu dilakukan oleh Koscielny ketika berdepan Qarabag selepas Arsenal sudah pun mengesahkan tempat ke peringkat 32 terakhir lebih awal.

“Ia adalah hari yang penting untuk saya. Ia adalah penamat untuk proses pemulihan saya, jadi saya gembira untuk bermain bersama pasukan, kelab ini dan menikmatinya bersama mereka di atas padang,” kata Koscielny dengan gol kemenangan ke atas kelab Azerbaijan itu dijaringkan Alexandre Lacazette.

“Ia beremosi kerana kamu mengingati hari pertama kamu mendapat kecederaan... dan kamu mengimbas kembali mengenai perbezaan tempoh ketika pemulihan... ada beberapa tempoh yang sukar tetapi kini saya lebih tenang dan fokus terhadap apa yang saya mahukan, dan secara fizikal saya ok.”

Kehadiran semula Koscielny menjadi khabar gembira buat jentera pertahanan Arsenal yang kehilangan Rob Holding sepanjang musim ini susulan kecederaan lutut selain masalah dihadapi Konstantinos Mavropanos (pangkal paha) dan Shkodran Mustafi (hamstring). - REUTERS

Berita Harian X