Jumaat, 14 Disember 2018 | 9:27pm
BEKAS kapten Kelantan, Badhri Radzi (dua dari kanan) akan menyertai skuad Singa Utara musim depan. - Arkib NSTP

PFA selesai isu gaji, ikat Piya

KUALALUMPUR: Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) mengesahkan sudah menyelesaikan isu tunggakan gaji yang membelenggu skuad Singa Utara, sebelum ini.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Unit Media PFA, persatuan negeri itu memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak tidak bertanggungjawab termasuk pemain yang melaporkan berita tidak sahih mengenai isu itu.

“Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie (Presiden PFA) menjelaskan PFA sedang dalam proses membentuk semula pasukan utama Perlis seterusnya memantapkan pasukan Perlis 2, Piala Presiden, Piala Belia dan Singa Muda,” menurut kenyataan itu.

“Berkenaan isu tunggakan gaji seperti yang tular baru-baru ini, beliau menyatakan isu ini sudah diselesaikan dan semua pemain serta pengurusan dinasihatkan mematuhi kandungan perjanjian kontrak serta tidak mendedahkan hal ehwal pasukan kepada mana-mana pihak.”

Menerusi kenyataan sama, PFA turut mengesahkan bekas kapten Kelantan, Badhri Radzi akan menyertai skuad Singa Utara musim depan.

“Badhri atau Piya menandatangani kontrak setahun di ibu negara yang disaksikan oleh Datuk Ahmad Amizal.

“Selain Badhri, beberapa pemain lain seperti Khyril Muhymeen Zambri, Azmi Muslim, Azmizi Azmi dan Amirizdwan Taj sudah sah menyarung jersi Perlis musim hadapan,” jelas kenyataan itu.

Berita Harian X