Jumaat, 14 Disember 2018 | 2:23pm
Presiden Tottenham Daniel Levy (kanan) bercakap sesuatu kepada Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu ketika pertandingan Liga Juara-Juara UEFA di antara FC Barcelona dan Tottenham Hotspur di stadium Camp Nou di Barcelona, Selasa lalu. - Foto EPA

Pengerusi Spurs cemburu

LONDON: Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino berjenaka dengan mengatakan, pengerusi kelab itu, Daniel Levy amat 'bimbang' dan ' risau' jika beliau meninggalkan Spurs.

Pochettino dikaitkan dengan beberapa kelab kuasa besar seperti Real Madrid dan Manchester United, selepas cemerlang sejak mengambil alih Tottenham pada Mei 2014.

Pengendali dari Argentina itu masih belum memenangi sebarang trofi, namun sering menarik minat beberapa kelab utama dunia.

Pochettino secara berjenaka menjelaskan, Levy mungkin bimbang kehilangannya selepas diminta mengulas berhubung masa depannya.

"Adakah saya perlu meyakinkannya? Tidak. Hakikatnya dalam bola sepak apabila presiden kelab berkata, 'Tidak, pengurus ini akan kekal di sini dan kami menaruh kepercayaan terhadapnya', dan hari seterusnya (dia sudah) dipecat.

"Jadi, jika anda terlalu selesa, ia adalah kerana anda memikirkan perkara lain. Apapun saya pasti beliau amat bimbang kerana beliau cemburu dengan saya," katanya berjenaka.

Dalam kempen di pentas Eropah musim ini, Spurs mara ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara selepas mengikat Barcelona di Sepanyol, awal pagi Khamis lalu.

Manakala dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), mereka berada di kedudukan ketiga carta liga dan menerima kunjungan Burnley pada Rabu ini. - Agensi

Berita Harian X