Jumaat, 14 Disember 2018 | 12:52am
MAURICIO Pochettino - Foto Reuters

Pochettino selesa dipalit spekulasi

LONDON: Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino mengakui tidak akan bosan dengan laporan yang mengaitkannya dengan kelab lain kerana ia bermakna beliau sedang melakukan perkara yang betul.

Spekulasi terbaharu membabitkan Pochettino hadir minggu ini selepas kelab kendaliannya mara ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara dengan beberapa laporan mengaitkannya dengan perpindahan ke Manchester United dan Real Madrid.

“Berita seperti ini saya fikir ia tidak akan menyakitkan hati atau membosankan sesiapapun,” kata pengendali dari Argentina itu yang menandatangani kontrak baharu selama lima tahun bersama Spurs pada Mei.

“Saya lebih gemar apabila akhbar bercakap mengenai perkara seperti ini berbanding ‘Tottenham akan memecat saya’, atau ‘orang sudah penat dengan saya’, atau ‘kami berada dalam situasi yang sukar.

“Sudah tentu jika saya boleh memilih satu situasi, pilihan saya adalah perkara ini. Saya tidak bosan mengenainya, sudah pasti.”

Pochettino berjaya mengemudi Spurs ke peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara dan menduduki tempat ketiga Liga Perdana Inggeris sekali pun terpaksa mengharungi beberapa kesukaran termasuk perlu menjadikan Wembley sebagai gelanggang sendiri, musim ini.

Justeru, beliau mengakui lega kebanyakan fokus terarah kepada Manchester City serta Liverpool dan bukannya Tottenham.

“Sudah pasti, kami ada di sana, kami berada di posisi yang baik,” katanya. “Adalah normal apabila ada  persepsi berbeza. Saya gembira dengan persepsi hari ini apabila persepsi yang datang daripada media hanya tertumpu kepada Manchester City dan Liverpool.”

Spurs akan mengetahui lawan mereka di peringkat seterusnya dalam kempen Liga Juara-Juara selepas majlis undian selesai, minggu depan dengan lawan yang bakat ditemui mereka adalah Porto, Real Madrid, Borussia Dortmund, Paris Saint-Germain, Juventus atau Bayern Munich.

Mereka dijadual bermain aksi pertama di gelanggang sendiri pada Februari dan Pochettino tampak teruja dengan prospek bermain di gelanggang sendiri, Stadium Tottenham Hotspur yang dibangunkan di tapak laman White Hart Lane yang dijangka akan siap pada awal 2019. - AFP

Berita Harian X