Khamis, 13 Disember 2018 | 11:25am
PENGENDALI Arsenal, Unai Emery. - Foto Reuters

Emery cari bek tengah perkuat benteng

LONDON: Pengendali Arsenal, Unai Emery mengakui beliau mungkin terpaksa  menambah seorang lagi bek tengah ketika jendela perpindahan pemain pada Januari ini.

The Gunners kehilangan beberapa tonggak pertahanan dan kemungkinan akan bertandang ke Southampton Ahad ini dengan hanya seorang bek tengah yang betul-betul cergas, Laurent Koscielny.

Pemain ini baru saja kembali bersama pasukan, selepas terpaksa berehat sejak Mei lalu akibat kecederaan Achilles.

Pemain 33 tahun itu bakal menjadi benteng utama di St Mary dengan Konstantinos Mavropanos dan Rob Holding cedera, Shkodran Mustafi pula bergelut dengan kecederaan hamstring dan Sokratis Papastathopoulos digantung.

Gary Cahill dari Chelsea dan Eric Bailly (Manchester United) turut dikaitkan dengan perpindahan ke Emirates dan Emery berkata: ‘Jika kita boleh mendapatkan seorang pemain untuk menolong kita di bek tengah, saya rasa ia pilihan yang baik.

‘Jendela perpindahan bukan mudah. Koscielny baru kembali dan ia penting buat pasukan. Kemudian kita akan menilai proses pemulihan Mavropanos kerana dia juga bermain di posisi itu.

‘Satu lagi pilihan ialah kita boleh menggunakan dua, tiga - dan Nacho Monreal serta (Stephan) Lichtsteiner juga boleh bermain di posisi ini,’ - AGENSI

552 dibaca
Berita Harian X