Khamis, 13 Disember 2018 | 10:22am
PEMAIN Manchester City, Leroy Sane diasak pemain Hoffenheim, Nadiem Amiri pada aksi Kumpulan F, Liga Juara-Juara di Stadium Etihad, pagi tadi. - Foto Reuters

Sane kukuhkan kedudukan City

MANCHESTER: Manchester City terselamat daripada permulaan yang kurang baik untuk bangkit menewaskan Hoffenheim 2-1, menerusi dua jaringan Leroy Sane dalam aksi Kumpulan F, Liga Juara-Juara, pagi tadi.

Jaringan penalti Andrej Kramaric membolehkan pelawat dari Jerman mendahului pada minit ke-16, dengan tuan rumah yang melakukan rombakan besar dalam kesebelasan utama bergelut memberikan saingan.

Bagaimanapun anak buah Pep Guardiola kembali menemui rentak pada penghujung babak pertama menerusi sepakan percuma Sane.

Guardiola kecewa dengan kegagalan anak buahnya memanfaatkan peluang di hadapan gol pada separuh masa kedua, dengan Sane menggandakan jaringan apabila menyudahkan hantaran Raheem Sterling pada minit ke-61.

PEMAIN Manchester City, Leroy Sane menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Hoffenheim pada aksi Kumpulan F, Liga Juara-Juara di Stadium Etihad, pagi tadi. - Foto EPA

"Kita bermula hambar kerana lawan memberikan cabaran ketika menyerang dan menggunakan ruang dengan baik. Secara fizikal mereka lebih kuat berbanding kami," kata Guardiola.

"Selepas kami mencipta banyak peluang, keputusan adalah lebih baik. Kami melepasi peringkat kumpulan dan kini menunggu undian serta cuba berada di tahap yang terbaik.

"Kami menurunkan pemain muda. Barisan serangan dibarisi pemain berusia 21 dan 22 tahun, namun mereka perlu lebih tenang ," tambahnya.

Bagaimanapun, beliau memuji pemain berusia 18 tahun, Phil Foden pada penampilan pertamanya di Liga Juara-Juara selepas hanya beberapa hari menandatangani kontrak baru selama lima tahun setengah.

"Dia pemain yang hebat. Dia mampu menjaringkan gol, mempunyai mentaliti pejuang dan mengawal posisinya. Saya tidak mempunyai keraguan bahawa dia bersedia untuk beraksi bersama kami di tahap tertinggi." -AFP

 

PEMAIN Manchester City, Leroy Sane meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan, Gabriel Jesus dalam perlawanan menentang Hoffenheim pada aksi Kumpulan F, Liga Juara-Juara di Stadium Etihad, pagi tadi. - Foto Reuters

Berita Harian X