Rabu, 12 Disember 2018 | 3:51pm
PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe. - Foto Asyraf Hamzah

Antara permainan terbaik Harimau Malaya - Cheng Hoe

KUALA LUMPUR: Sekalipun laluan untuk menjulang Kejuaraan Piala AFF buat kali kedua tampak berliku, pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tetap menyifatkan keputusan 2-2 ke atas Vietnam pada aksi final pertama malam tadi, sebagai positif.

Masih segar dengan kejayaan menyingkirkan juara bertahan, Thailand dengan keputusan 2-2 menerusi peraturan gol di tempat lawan, Cheng Hoe beranggapan anak buahnya berjaya memperagakan antara aksi terbaik mereka sepanjang kempen kali ini.

"Kita beraksi menentang Vietnam yang sememangnya sebuah pasukan dengan kualiti lebih baik tetapi pemain saya dapat memberikan saingan sengit kepada mereka.

"Tidak mudah bertemu pasukan seperti Vietnam, jadi dengan persembahan malam ini, saya perlu memberikan kredit kepada semua pemain kerana ini antara persembahan terbaik mereka yang pernah saya saksikan.

"Ini juga kali pertama pemain saya mengharungi permainan dengan intensiti dan tempo permainan yang begitu tinggi. Jadi sudah tentu mereka dapat mempelajari sesuatu daripada perlawanan malam ini untuk dibawa pada aksi seterusnya.

"Apapun, saya yakin pemain akan tetap bersemangat tinggi dan mengekalkan momentum untuk meraih satu lagi keputusan positif pada aksi kedua di Hanoi," katanya pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Mengulas lanjut aksi final pertama malam tadi, Cheng Hoe menegaskan anak buahnya perlu lebih fokus seandainya tidak mahu pulang dengan kekecewaan pada aksi kedua di Stadium My Dinh, Sabtu ini.

"Kami memulakan aksi dengan baik tetapi dibolosi gol awal kerana kekurangan fokus. Masih ada 90 minit lagi untuk aksi kedua di Hanoi jadi kita perlu perbaiki segala kesilapan yang berlaku di sini," katanya.

Justeru, Vietnam memiliki kelebihan, Malaysia perlu mengharapkan keajaiban Piala AFF 2014 yang menyaksikan mereka tumbang 2-1 di tangan lawan sama pada aksi separuh akhir pertama di laman sendiri namun bangkit menewaskan lawan 4-2 pada aksi di tempat mereka sekali gus menempah tiket ke final bertemu juara, Thailand.

1876 dibaca
Berita Harian X