Selasa, 11 Disember 2018 | 11:46pm
PENYERANG Malaysia, Norshahrul Idlan Talaha (tengah) diasak pemain tiga pemain Vietnam pada aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi. - Foto AFP

Cheng Hoe yakin boleh cipta kejutan

 

KUALA LUMPUR: Segala kelemahan perlu diperbaiki Harimau Malaya bagi menghadapi baki 90 minit final Piala AFF di Stadium My Dinh, Hanoi Sabtu ini.

Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui masalah hilang konsentrasi dilihat menjadi faktor utama pemainnya melepaskan dua gol kepada Vietnam pada aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Beliau berkata, tempoh kira-kira empat hari menjelang aksi penentuan di Hanoi perlu digunakan sepenuhnya bagi mendapatkan keputusan positif buat Harimau Malaya.


TAN Cheng Hoe - Foto ASYRAF HAMZAH

"Secara keseluruhan kami bermain baik tapi kami melepaskan gol kerana (pemain) hilang konsentrasi. Sama ketika beraksi di Hanoi sebelum ini (dalam peringkat kumpulan).

"Tapi masih ada 90 minit pada perlawanan kedua dan saya sebagai jurulatih perlu memperbaiki segala kesilapan untuk perlawanan di Hanoi nanti," katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Terikat 2-2 pada aksi pertama menyaksikan anak buah Cheng Hoe wajib menang ke atas Vietnam dalam aksi timbal balik nanti atau sekurang-kurangnya memerlukan keputusan seri 3-3 untuk menjulang Piala AFF buat kali kedua.

Selain itu, Cheng Hoe tidak menganggap Harimau Malaya tidak mampu untuk melakar kejutan pada aksi di Hanoi nanti kerana tidak akan mendapat sokongan padu daripada lebih 80,000 penyokong setia seperti yang berlaku di Bukit Jalil.

"Sudah pasti sokongan padu penyokong memberikan motivasi kepada pemain. Tapi saya tetap percaya kami mampu untuk melakar kejutan di Hanoi," katanya.

Berita Harian X