Selasa, 11 Disember 2018 | 7:43pm
WAN Zaidi Wan Musa yang mengenakan kostum Spiderman bersama penyokong Vietnam. - Foto AZIMAN ROSDI

'Spiderman' gempar Bukit Jalil

 

KUALA LUMPUR: Ribuan penyokong yang membanjiri Stadium Nasional, Bukit Jalil gempar apabila dikejutkan dengan kehadiran 'Spiderman' yang berkeliaran di perkarangan stadium.

Kehadiran Wan Zaidi Wan Musa yang mengenakan kostum Spiderman nyata menjadi tarikan buat ribuan penyokong sebelum sepak mula Piala AFF antara Malaysia dan Vietnam.

Peniaga berusia 30 tahun itu bagaimanapun menjelaskan ia bukan kali pertama dia mengenakan kostum super hero, termasuk Batman dan Kapten Amerika ketika hadir ke perlawanan bola sepak.


PENYOKONG Malaysia mengenakan kostum Spiderman sebelum menyaksikan perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR

"Tujuan mengenakan kostum Spiderman ini adalah untuk memberi semangat kepada barisan pemain negara kita untuk turun beraksi sebagai super hero.

"Memang ini bukan kali pertama saya mengenakan kostum super hero dan ia dapat menarik minat penyokong lain yang berada di stadium.

"Memang ramai yang minta bergambar dan saya fikir ia adalah salah satu kemeriahan terutama bagi perlawanan akhir Piala AFF ini," katanya ketika ditemui di Stadium Nasional, hari ini.

Sepak mula aksi Malaysia dan Vietnam akan berlangsung jam 8.45 malam ini dan gelanggang keramat Harimau Malaya itu sudah mula dibanjiri puluhan ribu penyokong sejak jam 4 ptg tadi.

Selepas aksi malam ini, perlawanan final kedua Piala AFF akan berlangsung di Stadium My Dinh, Hanoi pada Sabtu ini.

Berita Harian X