Selasa, 11 Disember 2018 | 1:39pm
SKUAD Harimau Malaya hari ini menerima kejutan apabila dikunjungi bekas pengendali, Datuk K Rajagobal yang berkongsi pengalaman serta kata-kata semangat ketika menjulang Piala AFF 2010. - Ihsan FB FAM
- Ihsan FB FAM
- Ihsan FB FAM

FAM suntik 'aura juara 2010'

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya hari ini menerima kejutan apabila dikunjungi bekas pengendali, Datuk K Rajagobal yang berkongsi pengalaman serta kata-kata semangat ketika menjulang Piala AFF 2010.

Inisiatif khas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin itu bertujuan membakar semamgat pemain menjelang pertembungan akhir pertama Piala AFF menentang Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Rajagobal yang membawa Malaysia menjulang trofi kejuaraan Piala AFF buat kali pertama dalam sejarah pada tahun 2010 dijemput Hamidin untuk memberikan rangsangan kepada pemain ketika mereka sedang bersarapan, pagi tadi.

Berdasarkan laman sosial facebook rasmi FAM, Rajagobal memberikan motivasi kepada pemain dan turut dihadiri Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal yang juga pengurus Harimau Malaya pada edisi 2010.

Turut hadir, seorang lagi Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi selaku pengurus pasukan, Dato Posa Majais (penolong pengurus) serta ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe.

Malaysia muncul juara edisi 2010 selepas menumbangkan Indonesia 4-2 secara agregat. Harimau Malaya melakar kemenangan 3-0 pada aksi di Stadium Nasional, disusuli tewas 2-1 dalam aksi timbal balik.

Ketika ini, Cheng Hoe turut berada dalam pasukan selaku pembantu kepada Rajagobal.

Bagi kempen kali ini, Harimau Malaysia perlu mencari bekalan selesa apabila beraksi di laman sendiri sebelum bertandang ke Hanoi untuk perlawanan akhir kedua, pada 15 Disember ini.

 

1356 dibaca
Berita Harian X