Isnin, 10 Disember 2018 | 8:21pm
PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp memeluk Mohamed Salah selepas tamat aksi menentang Bournemouth pada saingan Liga Perdana Inggeris. - Foto Reuters

Salah tak bikin Klopp gusar

LONDON: Bos Liverpool, Jurgen Klopp langsung tidak bimbang mengenai prestasi Mohamed Salah yang tampak merudum pada permulaan musim ini.

Penyerang Mesir itu menjaringkan gol ke-10 dalam kempen Liga Perdana Inggeris musim ini selepas meledak hatrik ketika Reds menang 4-0 di Bournemouth yang membawa skuad kendalian Klopp ke puncak liga.

Selepas penyandang juara, Manchester City tewas 0-2 kepada Chelsea, Liverpool kini menjadi satu-satunya pasukan yang belum kalah dalam aksi liga musim ini.

Salah mengalami kecederaan bahu ketika Reds tewas kepada Real Madrid pada final Liga Juara-Juara musim lalu yang merencatkan pergerakannya ketika Piala Dunia tetapi Klopp mengakui beliau tidak pernah meragui kemampuan pemain berusia 26 tahun itu.

“Sesaat pun saya tidak pernah bimbang (Salah). Saya tidak tahu dengan tepat apa yang orang lain tulis, saya langsung tidak mempunyai idea mengenainya,” kata pengendali dari Jerman itu.

“Tetapi kami perlu sentiasa bertambah baik, dan untuk mengesahkan dan memperbaiki 41 gol yang dijaringkan semusim (gol Salah musim lalu 44 gol). Semua orang sedikit bergelut, dan disebabkan  itu bagaimana kamu mahu meningkat?

“Jika kamu menjaringkan 10 gol dalam lima perlawanan awal semua orang akan berkata ‘ya ia akan berlaku sekali lagi.’ Dan jika kamu menamatkannya dengan 39 orang akan berkata ‘ya tetapi ia bukan 41.’ Dan kamu semua perlu belajar untuk menanganinya, dan dia juga sudah tentu. Itulah caranya.”

Liverpool perlu menewaskan Napoli 1-0 atau dengan margin kebih dua gol di Anfield, awal pagi Rabu ini untuk mengesahkan tempat ke peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara dengan Klopp mencabar pemainnya untuk menampilkan permainan sebenar mereka.

“Kami tidak begitu bagus di Napoli jadi yang pertamanya adalah kami mahu menunjukkan yang kami lebih bagus daripada itu,” kata Klopp. “Jadi kami juga perlu menyeru Anfield (penyokong) sekali lagi dan mereka sepatutnya membantu kami kerana ia perlawanan yang memang besar.” - AFP

1211 dibaca
Berita Harian X