Isnin, 10 Disember 2018 | 4:12pm
ZAQUAN Adha pada sidang media pra-perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini. - NSTP/Asyraf Hamzah

Harimau Malaya janji tak ulangi kesilapan

 

KUALA LUMPUR: Ketua pasukan Harimau Malaya, Zaquan Adha Abd Radzak menegaskan kekalahan 0-2 kepada Vietnam pada peringkat Kumpulan A Piala AFF di Hanoi sebelum ini tidak akan berulang lagi apabila kedua-dua pasukan bertemu di pentas final kali ini.

Katanya, kekalahan itu sedikit sebanyak memberi pengajaran berguna kepada rakan sepasukannya menjelang aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Jelasnya, dia percaya barisan pemain sudah memperbaiki segala kelemahan bagi memastikan misi meraih kemenangan di depan 80,000 penyokong tempatan mampu diraih.

"Suasana final sangat berbeza dibandingkan bermain dalam peringkat kumpulan," katanya pada sidang media pra-perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

"Untuk saya, apa yang berlaku dalam kumpulan, kita perbaiki kesilapan dan belajar sesuatu daripada kelemahan itu. Ia senario yang memang berbeza dan kami sudah bersedia untuk menentang mereka," katanya yang sudah merekodkan tiga gol pada kempen AFF kali ini.

Malaysia berjaya melangkah ke final buat kali keempat selepas edisi pertama 1996, 2010 serta 2014 dan kini berada di landasan tepat untuk menjulangnya buat kali kedua mengulangi pencapaian pada 2010 lalu.

Namun Vietnam yang juga juara pada 2008 bukan calang-calang pasukan apabila skuad bimbingan jurulatih dari Korea Selatan, Park Hang-Seo itu menduduki ranking ke-100 dunia berbanding Malaysia di tangga ke-167.

Malah sembilan  pertemuan sebelum ini menyaksikan Vietnam meraih enam kemenangan dan kali terakhir Malaysia menewaskan mereka ialah pada separuh akhir pertama Piala AFF 2010 dengan keputusan 2-0 di Bukit Jalil.

Jelas Zaquan, motivasi dan keharmonian adalah kunci kepada kejayaan pasukan hingga mara ke pentas final.

"Final adalah perlawanan yang ditunggu-tunggu sama ada peminat mahupun kami sebagai pemain. Keserasian dan keharmonian di luar padang antara  pengurusan dan pemain amat baik dan ia sebab mengapa kami cukup bersatu.

"Saya harap ia akan diteruskan di dalam padang pula dan InsyaAllah akan beri kejayaan," katanya.

1115 dibaca
Berita Harian X