Ahad, 9 Disember 2018 | 12:10pm
Norshahrul Idlan Talaha dan Mohamadou Sumareh.- Foto Asyraf Hamzah

Mat Yo, Sumareh calon Pemain Terbaik

KUALA LUMPUR: Dua pemain negara, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohamadou Sumareh masing masing dicalon bagi Anugerah Pemain Terbaik Separuh Akhir Piala AFF 2018.

Norshahrul yang lebih dikenali sebagai Mat Yo membuktikan dia masih lagi berbisa di pentas antarabangsa pada penampilan kelimanya apabila meledak lima gol setakat ini untuk muncul sebagai penjaring kedua terbanyak kejohanan di belakang penyerang Thailand, Adisak Kraisorn.

Malah, jaringan penyamaannya ketika bertemu skuad Gajah Perang di Stadium Rajamangala membolehkan skuad Harimau Malaya mara ke final edisi kali ini menerusi peraturan gol di tempat lawan.

Sumareh yang muncul pemain naturalisasi pertama negara pula dilihat tidak berdepan masalah menyesuaikan diri dengan pasukan itu meskipun beraksi buat kali pertama pada kejohanan itu.

Meskipun gagal meledak sebarang gol namun kehadiran pemain kelahiran Gambia itu sudah cukup untuk menghuru-harakan benteng pertahanan Thailand dengan gerakan lincahnya menerusi sayap kanan.

Dua pemain Vietnam turut dicalon bagi anugerah itu iaitu Nguyen Quang Hai dan Doan Van Hau yang menunjukkan aksi cemerlang dalam dua aksi separuh akhir menentang Filipina.

Undian boleh dilakukan di laman https://www.affsuzukicup.com/2018/news/117-general/1362-vote-semi-finals....

Setakat jam 11 pagi ini, sebanyak 3,391 undian sudah diterima yang menyaksikan Quang Hai mendahului dengan 60.72 peratus (2,059 undian) diikuti Van Hau dengan 20.17 peratus (684 undian).

Dua pemain Malaysia jauh ketinggalan apabila Norshahrul hanya mendapat 14.57 peratus (494 undian) sementara Sumareh dengan 4.54 peratus (154 undian).

1249 dibaca
Berita Harian X