Sabtu, 8 Disember 2018 | 3:52pm
Maurizio Sarri dan Pep Guardiola. - Foto AFP

Mampukah Chelsea robek ego City di Stamford Bridge?

Selepas 15 perlawanan, Manchester City kekal mendominasi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL). Menerusi himpunan 41 mata, ia terus mengukuhkan kedudukan dipersada dengan Liverpool muncul kelab tunggal paling hampir.

Kedua-dua kelab gergasi ini semakin menjarakkan kedudukan dengan pencabar lain seperti Tottenham Hotspur di tangga ketiga menerusi himpunan 33 mata, yang ketinggalan enam mata di belakang The Reds dan sembilan mata di belakang City.

Dua lagi calon pencabar iaitu Chelsea dan Arsenal pula masing-masing sudah ketinggalan 10 mata manakala jiran City di Manchester iaitu United pula jelas lebih jauh ketinggalan di belakang sebanyak 18 mata.

Dengan hanya berbaki empat lagi perlawanan sebelum memasuki separuh saingan di penghujung tahun, kelihatannya barisan pimpinan Pep Guardiola terus menjadi pilihan untuk mempertahankan kejuaraan liga.

Setakat ini, City selain Liverpool menjadi kelab yang belum pernah tewas saingan liga manakala jumlah jaringan juga sangat menakjubkan iaitu 45 berbanding tujuh bolos. The Reds mencatatkan 30 jaringan dan enam bolos.

Pun begitu, minggu ini, skuad The Citizens bakal teruji. Ibarat buku bertemu ruas, ia bakal berkunjung ke Stamford Bridge untuk berentap dengan Chelsea. Mampukah anak buah Guardiola mengekalkan rekod kemenangan dan sekali gus menbawa pulang mata dari situ?

Inilah yang menarik untuk kita saksikan. Perlawanan tumpuan bagi minggu ini, seharusnya memberi impak kepada kedua-dua kelab. Buat City, kemenangan sudah pasti akan mengekalkan kedudukan mereka di persada.

Begitu juga kalau seri biarpun Liverpool berjaya menewaskan Bournemouth di Stadium Dean Court lebih awal sebelum itu atas kelebihan jaringan. Bagi Chelsea pula, kemenangan aksi sangat didambakan mereka selepas dikejutkan Wolves pada pertengahan minggu.

Kekalahan sebaliknya akan terus memberi tekanan kepada Maurizio Sarri yang sebelum ini pasukannya turut dikejutkan Tottenham, 3-3 di Wembley sehingga menjejaskan peluang merapatkan kedudukan dengan City dan Liverpool. Penulis jangkakan aksi ini menjadi milik City dengan kemenangan tipis.

Sementara itu, Liverpool seharusnya tiada masalah untuk mengatasi Bournemouth jam 8.30 malam ini waktu Malaysia untuk mendapatkan suntikan semangat menjelang aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Napoli saingan Liga Juara-Juara minggu depan.

Begitu juga Spurs dan Arsenal yang masing-masing berdepan pasukan Leicester dan Huddersfield malam ini. Kemenangan sudah pasti akan terus mengukuhkan kedudukan untuk berada dalam tempat pasukan teratas liga.

United yang berdepan Fulham di laman sendiri malam ini perlu mencari strategi terbaik untuk memecahkan kebuntuan kerap gagal mendapat mata penuh sekiranya enggan melihat Jose Mourinhi menerima kritikan lebih teruk. Selamat menonton.

Ramalan Minggu Ini

Bournemouth 1 Liverpool 3

Man United 2 Fulham 0

Burnley 1 Brighton 1

Arsenal 2 Huddersfield 0

Cardiff 2 Southampton 2

West Ham 1 Crystal Palace 1

Chelsea 0 Man City 2

Leicester 1 Tottenham 2

Newcastle 1 Wolves 1

Everton 2 Watford 1

* Penulis adalah Penolong Editor Sukan Convergence NSTP

Berita Harian X