Jumaat, 7 Disember 2018 | 5:17pm
Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe. - Foto Osman Adnan

Harimau Malaya mampu ulangi sejarah 2010

 

KUALA LUMPUR: Selepas lapan tahun mengidam kejuaraan Piala AFF, pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe percaya ini detik terbaik buat Harimau Malaya menoktahkan penantian itu.

Meskipun rekod pertemuan Malaysia menentang Vietnam jelas tidak memihak kepada mereka termasuk tewas 0-2 pada aksi peringkat Kumpulan A di Hanoi, namun beliau yakin pentas final pada 11 dan 15 Disember ini pasti berbeza.

“Perlawanan final dengan peringkat kumpulan adalah saingan berbeza. Apa yang perlu dilakukan oleh pemain adalah kekalkan momentum dan keyakinan seperti ketika menentang Thailand.

“Kita kalah kepada Vietnam sebelum ini kerana satu, dua kesilapan individu tapi secara keseluruhan kita bermain baik. Final kali ini, kita akan bermain secara timbal balik, jadi pasti berbeza.

“Bertemu Vietnam ibarat perlawanan ulangan tapi saya tak nak cakap ia pentas untuk kita balas dendam tapi kita nak tunjuk kita juga boleh menang,” katanya kepada Sukan NSTP hari ini.

Malaysia berjaya melangkah ke final buat kali keempat selepas edisi pertama 1996, 2010 dan 2014 apabila menyingkirkan juara bertahan, Thailand menerusi peraturan gol di tempat lawan susulan keputusan seri 2-2 di Bangkok, kelmarin.

Bagi Cheng Hoe, ini pentas final kedua baginya selepas menjadi pembantu kepada jurulatih, Datuk K Rajagobal yang memenangi Piala AFF pertama dan terakhir pada 2010.

Namun Vietnam, juara 2008 bukan calang-calang pasukan apabila kini di ranking 100 dunia.

Malah skuad Naga Emas kendalian Park Hang-seo itu menang enam daripada sembilan pertemuan terakhir sejak 2010.

Cheng Hoe bagaimanapun percaya, aura Stadium Nasional Bukit Jalil bakal mencemaskan pasukan lawan itu.

“Suasana Stadium Nasional Bukit Jalil tidak ada di tempat lain pada kempen Piala AFF ini, aura hampir 90,000 penyokong memang dirasai. Bukan mudah untuk mana-mana pasukan untuk bermain di sana,” katanya.

1158 dibaca
Berita Harian X