Khamis, 6 Disember 2018 | 10:40pm
PEMAIN Vietnam, Doan Van Hau (kiri) berebut bola dengan pemain Filipina, Martin Steuble dalam aksi Piala AFF di Stadium My Dinh, di Hanoi. - Foto AFP
PENYOKONG bola sepak Vietnam bersorak ketika menyaksikan perlawanan di Stadium My Dinh, di Hanoi. - Foto AFP

Vietnam jumpa Malaysia

KUALA LUMPUR: Bekas juara 2008, Vietnam menempah pertemuan dengan Malaysia di perlawanan akhir Piala AFF 2018 apabila mudah melepasi saingan separuh akhir menerusi agregat 4-2 selepas menewaskan Filipina, sebentar tadi.

Pertembungan final itu pastinya menarik terutamanya selepas skuad Harimau Malaya berjaya mengenepikan tentangan juara bertahan, Thailand, di Bangkok, semalam.

Perlawanan akhir itu juga pastinya ditunggu-tunggu oleh pemain negara untuk membalas 'dendam' selepas tewas 0-2 kepada Vietnam di peringkat Kumpulan A sebelum ini.

Pada aksi di Hanoi itu, Filipina yang terdesak untuk memburu dua gol selepas tumbang 2-1 pada separuh akhir pertama jelas menguasai penuh babak pertama namun dikecewakan dengan aksi mantap pertahanan tuan rumah yang berjaya mematahkan segenap percubaan Filipina.

Bagaimanapun, Vietnam terlebih dulu memecah kebuntuan menerusi penyerang licik mereka, Nguyen Quang pada minit ke-83 sebelum Nguyen Phuong menambah gol kedua tiga minit kemudian.

Pelawat cuba bangkit hasil tandukan James Younghusband namun ia masih tidak cukup untuk menghalang Vietnam ke final.

Final pertama akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil Selasa ini, manakala aksi timbal balik di Hanoi pada Sabtu depan. 

3751 dibaca
Berita Harian X