Khamis, 6 Disember 2018 | 7:08pm
MILOVAN Rajevac

Kedudukan Rajevac dipertikai

BANGKOK, Thailand: Gara-gara tersingkir daripada kempen Piala AFF 2018, jurulatih Thailand, Milovan Rajevac didesak untuk meletakkan jawatan.

Pada sidang media semalam selepas perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Nasional Rajamangala yang menyaksikan juara bertahan itu seri 2-2 dan terkandas menerusi peraturan gol di tempat lawan, Rajevac diasak media tempatan dengan soalan panas.

Namun pengendali kelahiran Serbia itu jelas enggan menyentu mengenai kedudukannya.

“Itu bukan soalan yang perlu ditanya pada sidang media ini,” katanya dengan nada tidak berpuas hati.

Impian skuad Gajah Perang melangkah ke final lebur apabila penyerang Adisak Kraisorn gagal menyempurnakan sepakan penalti pada lewat permainan ketika kedudukan terikat 2-2.

Ternyata badi sepakan penalti terus menghantui Rajevac yang sebelum ini mengalami kekecewaan sama ketika membimbing Ghana pada pusingan akhir Piala Dunia 2010.

Pasukannya dihadiahkan sepakan penalti pada akhir permainan menentang Uruguay namun penyerang Asamoah Gyan gagal memanfaatkannya lalu menyebabkan mereka gagal ke separuh akhir.

“Kami memiliki sepakan penalti tapi gagal menyempurnakannya. Kami cuma tidak bernasib baik. Saya ada terfikir untuk meminta pemain lebih cergas bagi mengambil sepakan itu tapi sebelum perlawanan kami sudah bersetuju untuk Adisak mengambil sepakan penalti.

“Malangnya dia terlepas peluang menjaringkan gol tapi kami tetap berada di belakangnya,” jelas Rajevac.

Tambahnya, fokus Thailand kini adalah untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi Piala Asia, Januari depan.

2066 dibaca
Berita Harian X