Khamis, 6 Disember 2018 | 7:07pm
TAN Cheng Hoe

Singkirkan Thailand bukan jaminan juara - Cheng Hoe

BANGKOK, Thailand: Jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe menegaskan kejayaan anak buahnya menyingkirkan Thailand bukan jaminan untuk mereka bergelar juara pada final Piala AFF 2018.

Katanya, pasukan yang bakal mereka tempuhi selepas ini sama ada Vietnam atau Filipina tetap lawan yang sukar.

“Pada peringkat awal lagi saya menyatakan Vietnam sebagai pasukan pilihan, mereka bukan secara kebetulan dalam ranking 100 terbaik dunia.

“Pasukan mereka dalam tiga, empat tahun ini bermain cukup baik pada tahap berlainan dan layak ke Piala Asia, begitu juga Filipina. Saya masih anggap kita sebagai ‘underdog,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Malaysia terpaksa bangkit dua kali untuk mengikat juara bertahan Thailand seri 2-2 pada separuh akhir kedua di Bangkok semalam sekali gus mara menerusi peraturan gol di tempat lawan.


PEMAIN Malaysia meraikan jaringan kedua pasukan oleh Norshahrul Idlan Talaha (tiada dalam gambar) dalam aksi perlawanan Piala AFF menentang Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok, malam tadi. - Foto AFP

Ini kali keempat Harimau Malaya melangkah ke final selepas 1996, 2010 dan 2014.

Malaysia hanya muncul juara sekali pada 2010 yang menyaksikan Cheng Hoe ketika itu menjadi penolong jurulatih Datuk K Rajagobal.

“Ini perlawanan yang paling mendebarkan bagi saya sepanjang bergelar pemain dan jurulatih. Bila Thailand jaringkan gol, kita bangkit mengikat kedudukan dua kali. Pada minit akhir perlawanan mereka mendapat sepakan penalti tapi tak masuk.

“Dan bila kita layak ke final, sasaran kita nak jadi juara, tidak kira pemain beraksi dalam apa saja pertandingan. Bukan jaminan kita menang dengan Thailand kita pasti juara, dalam bola sepak kita kena kekal fokus dan berdisiplin,” jelas Cheng Hoe.

2192 dibaca
Berita Harian X