Khamis, 6 Disember 2018 | 6:55pm
PEMAIN Malaysia meraikan kemenangan selepas seri 2-2 menentang Thailand dan mara ke final menerusi peraturan gol di tempat lawan. - Foto AFP

Ayuh tamatkan penantian Harimau Malaya

KOMENTAR

Selepas menempuh malam yang mendebarkan dengan cukup indah, Harimau Malaya kini dalam landasan terbaik untuk menamatkan kemarau lapan tahun kejuaraan Piala AFF.

Barisan pemain Tan Cheng Hoe yang tidak banyak diberikan harapan pada permulaan kempen membuktikan misi ke final seperti disasarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bukan mustahil.

Mungkin ada yang menganggap ia satu kejutan untuk Malaysia menyingkirkan juara bertahan Thailand untuk mara ke final buat kali keempat tapi sebenarnya tidak.

Apa yang dipamerkan anak buah Cheng Hoe di Stadium Nasional Rajamangala pada aksi separuh akhir kedua Piala AFF semalam menggambarkan betapa ‘laparnya’ Harimau Malaya untuk memburu gelaran.

Memang faktor tuah juga memainkan peranan apabila penyerang Thailand Adisak Kraisorn gagal memanfaatkan sepakan penalti untuk membolehkan Malaysia seri 2-2 dan mara ke final menerusi peraturan gol di tempat lawan.

Tapi kesungguhan pemain negara untuk segera bangkit menyamakan kedudukan sebanyak dua kali membuktikan kekuatan mental yang ada pada pemain muda negara sekali gus memberi tekanan kepada Gajah Perang.

Pemain negara tidak gelabah selepas ketinggalan sebaliknya tenang mengekalkan penguasaan bola dalam menyerap tekanan, sesuatu yang kita mahu saksikan selama ini.

Lebih penting, mereka memanfaatkan setiap peluang yang agak terhad dapat dicipta pada perlawanan itu berbanding ketika seri 0-0 pada pertemuan pertama di Bukit Jalil Sabtu lalu.

Tapi cerita indah Harimau Malaya tidak boleh terhenti setakat ini, kerana piala idaman selaku jaguh Asia Tenggara perlu ditakluki sebelum berkira-kira ingin mencabar pasukan Asia.

Beberapa kelemahan harus diperbaiki terutama ketika berdepan situasi ‘set-piece’ seperti yang didedahkan oleh Thailand semalam.

Tidak kira siapa lawan selepas ini, gunakan sebaik-baiknya kelebihan beraksi di laman sendiri pada final timbal balik 11 dan 15 Disember ini andai mahu tidur lena mendakap trofi.

656 dibaca
Berita Harian X