Khamis, 6 Disember 2018 | 11:18am
PENYERANG Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha (kanan) menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Thailand pada aksi separuh akhir kedua Piala AFF di Stadium Rajamangala, malam tadi. - Foto AFP

Mat Yo tunai janji ke final

Penyerang Harimau Malaya Norshahrul Idlan Talaha membuktikan dirinya bukan ‘cakap kosong’ apabila mengotakan janjinya untuk membawa pasukan ke pentas final Piala AFF 2018.

Selepas tewas 0-2 kepada Vietnam pada aksi peringkat Kumpulan A sebelum ini, pemain berusia 32 tahun itu berharap dapat bertemu sekali lagi dengan pasukan pilihan kejohanan itu di final.

Dan impiannya beraksi di kemuncak kejohanan bola sepak terbesar Asia Tenggara itu menjadi kenyataan selepas Malaysia menyingkirkan juara bertahan Thailand apabila seri 2-2 pada separuh akhir kedua di Bangkok semalam.

Norshahrul atau Matyo sedikit tenggelam dalam perlawanan itu namun gol penyamaan yang dihasilkannya pada minit ke-71 cukup penting buat Harimau Malaya layak menerusi jaringan di tempat lawan.

“Saya bersyukur kerana Malaysia layak ke final 2018. Saya mahu berterima kasih kepada jurulatih (Tan Cheng Hoe), isteri dan anak-anak yang banyak memberi semangat untuk saya bangkit dalam bola sepak.

“Terima kasih juga kepada rakan sepasukan yang memberikan komitmen tinggi untuk layak ke final,” katanya yang diumumkan sebagai pemain terbaik perlawanan semalam.

Dia sudah meledak lima gol pada kempen kali ini sekali gus berkongsi status penjaring terbanyak tempatan dalam sejarah Piala AFF bersama bekas penyerang Safee Sali dan Indra Putra Mahayuddin (sembilan gol).

Norshahrul adalah tonggak Harimau Malaya menjulang kejuaraan pertama dan terakhir pada 2010 namun pemain Pahang itu kecewa apabila gagal mengulangi pencapaian sama selepas tewas kepada Thailand  menerusi agregat 4-3 di final 2014.

“Pasukan Thailand sekarang dan 2014 sedikit berbeza. Tanpa Chanatip Songkrasin, Terasil Dangda, mereka masih pasukan yang bagus dan bermain dalam satu pasukan.

“Pemain nombor 9, Adisak Kraisorn memiliki penyudah tajam tapi saya bersyukur selepas 2014, kita layak sekali lagi ke final,” katanya yang sebelum ini mengumumkan Piala AFF 2018 adalah penyertaan terakhirnya selepas tampil lima kali bersama Harimau Malaya.

Malaysia kini menunggu lawan mereka di final pada 11 dan 15 Disember yang bakal ditentukan Vietnam dan Filipina.

Berita Harian X