Khamis, 6 Disember 2018 | 10:26am
PEMAIN negara, Syahmi Safari diasak pemain Thailand, Sanrawat Dechmitr pada aksi separuh akhir kedua Piala AFF di Stadium Rajamangala, malam tadi. - Foto AFP

'Saya hilang kata-kata'

BANGKOK: Pertahanan kanan negara, Syahmi Safari mungkin menjadi pemain Malaysia yang paling lega susulan kegagalan Thailand menempah tiket ke final Piala AFF 2018 dan mempertahankan trofi itu.

Ketika anak buah Tan Cheng Hoe hampir berada di ambang final, Syahmi memberikan ‘bantuan terbesar’ buat skuad Gajah Perang itu apabila menghadiahkan sepakan penalti susulan bola terkena tangannya ketika saingan berbaki hanya setengah minit.

“Ketika itu, saya hilang kata-kata apabila pengadil memberikan sepakan penalti dan kad kuning kedua. Jadi saya terpaksa reda dengan keputusan yang diberikan.

“Kalaulah Thailand berjaya menjaringkan gol, memang itu berpunca daripada kesilapan saya tetapi rezeki sememangnya berada di pihak kita.

“Mujurlah jurulatih dan rakan sepasukan banyak memberi kata-kata dorongan. Bagi saya, perkara ini menjadi pengajaran paling berguna dan saya perlu bangkit daripada kesilapan ini,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan malam tadi.

Pada aksi malam tadi, pemain Selangor itu mendiamkan pelusuk Stadium Rajamangala apabila percubaan jarak jauhnya gagal ditepis Chatchai Budprom untuk Malaysia mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-28.

Bagaimanapun, sepakan penalti yang diberikan pengadil dari Jordan, Adham Mohammed Tumah Makhadmeh merentap semangat skuad negara namun tendangan Adisak Kraisorn melambung tinggi sekali gus memaksa gergasi Asia Tenggara itu menelan ego di laman sendiri.

Sekali imbas, tindakan Syahmi mungkin mirip dengan apa yang dilakukan penyerang Uruguay, Luis Suarez selepas menghadiahkan sepakan penalti kepada Ghana pada minit akhir masa tambahan suku akhir Piala Dunia 2010 apabila menahan percubaan pemain lawan menggunakan tangan.

Asamoah Gyan yang diberi tanggungjawab gagal menyempurnakan sepakan penalti terbabit untuk membawa Ghana ke separuh akhir sebelum mereka akhirnya tewas 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti.

Sama ada kebetulan ataupun tidak, jurulatih Ghana ketika itu adalah Milovan Rajevac yang sekali lagi menyaksikan tragedi sama berulang di Stadium Rajamangala, malam tadi.

8172 dibaca
Berita Harian X