Khamis, 6 Disember 2018 | 1:51am
SEBAHAGIAN penyokong setia pasukan Malaysia yang menyertai penerbangan khas AirAsia AK9422 ke Bangkok menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua. - Foto MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Penyokong teruja inisiatif AirAsia

 

BANGKOK: Penerbangan khas ke Bangkok bagi aksi separuh akhir kedua Piala AFF 2018 yang dicetuskan syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia mendapat reaksi positif penyokong Malaysia yang berpeluang menikmati tawaran itu.

 

Rata-rata penyokong skuad Harimau Malaya teruja selepas peluang keemasan itu dapat menyemarakkan lagi sokongan mereka, sekali gus mencetus semangat buat pasukan negara yang akan berjuang di atas padang.

 

Seorang penyokong, Hambali Arman mengakui inisiatif ‘menerbangkan’ penyokong tegar Harimau Malaya ke Bangkok menerusi penerbangan khas menjadikan perjalanan lebih menarik memandangkan ia bergerak secara kumpulan.

 

“Bergerak secara berkumpulan ini menjadikan kita lebih bersemangat kerana kita sememangnya mahu memberi sokongan padu kepada pemain negara.

 

“Ini memberi pengalaman baharu buat saya yang sebelum ini bergerak berseorangan,” katanya.

 

Sementara itu, Syed Sharom Wafa menjelaskan, inisiatif itu memudahkan lagi pergerakan penyokong bagi menyaksikan perlawanan di luar negara selain mewujudkan suasana lebih meriah.

 

“Segalanya menjadi lebih mudah apabila bergerak secara beramai-ramai, ia menjadi lebih meriah.

 

“Lebih lebih lagi apabila kami bersorak di dalam pesawat dan sepanjang perjalanan ke stadium,” katanya.

 

 

 

3709 dibaca
Berita Harian X