Rabu, 5 Disember 2018 | 12:09pm
PENYERANG muda Pahang, R Kogileswaran. - NSTP/Adzlan Sidek

Kogi penggempur utama Tok Gajah?

KUANTAN: Penyerang muda Pahang, R Kogileswaran tidak mahu menjadi ‘pemerhati' dalam skuad itu bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.

Justeru, pemain berusia 20 tahun itu berazam berada dalam senarai kesebelasan utama skuad Tok Gajah musim 2019 selaku penggempur. 

"Musim ini, saya berterima kasih kepada jurulatih (Dollah Salleh) memberi peluang beraksi dalam saingan Liga M yang membantu meningkatkan prestasi. 

"Saya juga gembira kerana turut berjaya menjaringkan satu gol dalam saingan Liga Super yang memberikan suntikan semangat untuk beraksi dengan lebih baik. 

"Misi utama saya kini berada dalam pasukan selaku pemain utama kerana ia akan membantu meningkatkan lagi kualiti permainan," katanya. 

Bagi saingan musim 2019, ia adalah musim keempat bekas pemain Frenz United FC menyertai Pahang sejak 2016. 

Pencapaian terbaik Kogileswaran atau Kogi adalah membantu skuad Tok Gajah menjulang Piala FA musim ini. 

Justeru, penyerang itu akan memastikan pencapaian lebih baik diterjemahkan Pahang musim hadapan untuk meraih kejuaraan.

Berita Harian X