Rabu, 5 Disember 2018 | 9:32am
CHELSEA sudah bersedia untuk menawarkan kontrak baru kepada Eden Hazard. - Foto EPA

Chelsea tunggu keputusan Hazard

LONDON:  Chelsea sudah bersedia untuk menawarkan kontrak baru kepada Eden Hazard, namun kelab menunggu penyerang itu untuk membuat keputusan, kata pengurus, Maurizio Sarri.

Hazard yang sebelum ini dikatakan menanti tawaran baru atau memenuhi impian berhijrah ke Real Madrid, mempunyai kontrak sehingga Jun 2020.

“Sudah tentu saya mahu Hazard kekal di sini. Tapi saya mahu dia kekal sekiranya dia bersetuju untuk berbuat demikian.

“Kelab kini memang sudah bersedia untuk menandatangani kontrak baru tetapi segala-galanya terpulang kepadanya sama ada mahu menyambung kontrak atau tidak,” katanya.

Hazard pada awal musim ini berkata, dia tidak akan meninggalkan kelab itu manakala Sarri pula menegaskan perbincangan sedang berlangsung.

“Apa yang saya tahu terdapat perbincangan antara kelab dan pengurus Hazard pada setiap minggu.

“Jadi jika ada perkembangan baru, kelab akan segera menghubunginya,” katanya.

Sarri juga mahu Chelsea memikirkan semula polisi pemain melebihi usia 30 tahun bagi membolehkan beliau mengekalkan pemain pertahanan, David Luiz serta pemain tengah, Cesc Fabregas.

Luiz dan Fabregas berusia 32 tahun sebelum penghujung musim ini dan kontrak mereka turut tamat pada masa sama.

“Saya tahu ia bukanlah sesuatu yang mudah. Tapi saya rasa kami dapat menawarkan tawaran baru kepada kedua-dua pemain itu.

“Kelab mahu kontrak pendek manakala pemain mahukan kontrak panjang. Jadi ia agak sukar tetapi saya rasa pada akhirnya kita akan menemui jalan penyelesaian.

Sarri berkata, beliau sudah pun bercakap dengan pihak kelab sebulan lalu mengenai kontrak Luiz dan Fabregas yang dilabelkannya sebagai pemain sangat penting.

“Mereka berdua mempunyai karakter pemimpin. Jadi saya rasa adalah penting untuk mereka berdua ini terus kekal bersama kami.

Sarri juga berkata, pemain tengah England, Ruben Loftus-Cheek tidak akan meninggalkan kelab pada bulan depan di sebalik laporan menyatakan pemain berusia 22 tahun itu mungkin akan dipinjamkan ke kelab lain.

“Saya mahu dia kekal bersama kami,” katanya. – AGENSI

Berita Harian X