Selasa, 4 Disember 2018 | 6:50pm
Penjaga gol Thailand Chatchai Budprom. - Foto foxsportsasia.com

Mimpi ngeri Harimau Malaya menanti esok

Penjaga gol Thailand Chatchai Budprom menasihatkan kepada pemain Harimau Malaya supaya tidur lena malam ini.

Ini kerana dia yakin anak buah Tan Cheng Hoe bakal mengalami mimpi ngeri pada pertemuan separuh akhir kedua Piala AFF di Stadium Nasional Rajamangala malam esok.

“Pada perlawanan pertama, mereka memberi tekanan kepada kami tapi kali ini pasti berbeza. Kali ini kami akan beraksi di gelanggang sendiri.

“Ini adalah gelanggang Gajah Perang dan saya harap mereka tidur lena malam ini kerana esok bakal menjadi mimpi buruk buat mereka,” kata Chatchai dalam sidang media praperlawanan hari ini.

Pemain berusia 31 tahun itu jelas cukup geram dengan pemain Malaysia yang memperlekehkan mereka selaku juara bertahan ketika seri 0-0 dalam pertemuan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Beraksi di depan lebih 80,000 penyokong Malaysia, skuad Gajah Perang itu tenggelam dengan asakan pasukan tuan rumah namun bernasib baik kerana gawang mereka tidak dibolosi.

Chatchai berharap penyokong Gajah Perang akan melakukan perkara yang sama dengan membanjiri stadium bagi memberikan sokongan padu kepada mereka malam esok.

“Saya tidak mahu menipu, sudah pasti kami juga tertekan tapi kami akan berikan aksi terbaik. Kami mahu penyokong Thailand datang memberikan sokongan kepada kami,” kata penjaga gol Pathum United itu.

 

3029 dibaca
Berita Harian X