Selasa, 4 Disember 2018 | 6:33pm
Jurulatih Milovan Rajevac Thailand pada sidang media ketika menjelang pertemuan separuh akhir pertama dengan Malaysia, esok di Stadium Bukit Jalil. - Foto Saifullizan Tamadi

Thailand tak kisah penentuan sepakan penalti

Pengendali Thailand Milovan Rajevac tidak kisah sama ada perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF esok bakal berakhir 90 minit atau berlarutan ke penentuan sepakan penalti.

Katanya, mereka sudah bersedia berdepan apa sahaja situasi untuk menyingkirkan juara 2010 Malaysia sekali gus mara ke final bagi mempertahankan kejuaraan.

“Setiap pemain sedar dengan tanggungjawab masing-masing. Perlawanan ini penting untuk penyokong. Semua pemain sudah bersedia dan bersemangat untuk perlawanan esok.

“Kami yakin menang dan bersedia untuk sebarang senario yang akan berlaku (penentuan sepakan penalti),” katanya dalam sidang akhbar praperlawanan semalam.

Selepas aksi pertemuan pertama berakhir dengan 0-0, kedua-dua pasukan perlu memburu gol bagi mengelak perlawanan berlanjutan ke penentuan sepakan penalti.

Situasi Thailand, juara lima kali kejohanan lebih perit apabila tidak boleh seri dengan jaringan kerana bakal memberi kelebihan kepada Harimau Malaya menerusi gol di tempat lawan.

Rajevac dijangka mengarahkan jentera serangan mereka yang diterajui penjaring terbanyak dengan lapan gol Adisak Kraisorn untuk menggempur kubu Malaysia habis-habisan.

“Kami sudah bersedia, kali ini kami akan mempunyai sokongan padu penyokong, jadi saya yakin kami boleh mendapat keputusan positif dalam perlawanan penting ini untuk ke final,” katanya.

 

2072 dibaca
Berita Harian X