Selasa, 4 Disember 2018 | 12:45pm
GAMBAR fail, Ahmad Khuzaimi Piee (kanan) sewaktu mewakili PKNP FC menghalang pemain Kedah, Muhammad Akram Mahinan pada aksi Liga Super, 29 Julai lalu. - Foto Amran Hamid

Khuzaimi tekad pacu Melaka United

MELAKA: Pemain pertahanan skuad Liga Super PKNP musim ini, Ahmad Khuzaimi Piee mahu menjulang sekurang-kurangnya satu piala bersama skuad baharunya Melaka United (MU) pada 2019.

Malah, anak jati Melaka itu amat teruja mampu kembali menyarung jersi negeri kelahiran selepas menyumbang kudrat bersama skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim.

Beliau yang sebelum ini berada dalam skuad bimbingan ketua jurulatih kelahiran England, Eric Willams bersama MU pada awal musim dipinjamkan mewakili PKNP mengakui tidak janggal kembali bersama skuad terbabit.

Baginya, kesempatan bersama PKNP menambah keyakinan bersama skuad Hang Tuah untuk kembali merampas kedudukan kesebelasan utama di bawah kendalian jurulatih, Zainal Abidin Hassan di Melaka.

"Keluar masuk bersama pasukan ini adalah lumrah dan pada masa sama, memberi banyak ruang buat saya belajar dan menimba ilmu bersama jurulatih berpengalaman dan berwibawa, sekali gus meningkatkan prestasi dan persembahan saya.”

"Pada 2015 saya mewakili PKNS dan kembali menyertai MU pada 2016 dan 2017. Pada 2016 saya dipinjamkan dari PKNS ke Melaka dan ke PKNP pada awal tahun ini. Ia perkembangan menarik buat saya untuk terus belajar,”katanya.

Khuzaimi turut yakin mampu menyerlah bersama rakan sepasukan di bawah kendalian Zainal serta pembantu jurulatih Nidzam Adha Yusoff, Asri Ninggal dan Mazlan Wahid.

Dia yang sebelum ini menyerlah bersama jurulatih Mat Zan Mat Aris mengakui cabaran getir menanti MU bagi saingan musim depan, namun positif keputusan cemerlang mampu direkodkan.

Khuzaimi tercicir mewakili negara ke pentas Piala AFF musim lalu akibat kecederaan jelas mahu menampilkan aksi bertenaga sepanjang menyarung jersi skuad berkenaan kali ini.

861 dibaca
Berita Harian X