Sabtu, 1 Disember 2018 | 8:04am
JURGEN Klopp

Mampukah Liverpool bangkit aksi Merseyside Derby?

KOLUM APA KATA EPL

Kekalahan Liverpool kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam saingan Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu agak mengejutkan. Ia jelas sukar diterima, baik oleh pemain, pengurusan pasukan atau penyokong.

Kekalahan 1-2 di Paris itu sekali gus meletakkan naib juara musim lalu itu berdepan penyingkiran kecuali mampu mengatasi Napoli pada aksi terakhir kumpulan.

Dengan `mood' kecewa dan gundah, The Reds kembali ke pentas Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu ini bertemu Everton, dalam aksi tetangga Merseyside atau Merseyside Derby.

Mampukah anak buah Jurgen Klopp melakukan kebangkitan untuk kembali melakar kemenangan? Pertarungan dua pasukan berjiran sememangnya dinantikan penyokong kedua-dua pasukan sejak pertemuan pertama pada 1894.

Sebelum aksi tengah malam Isnin ini, Liverpool berada di tangga kedua liga dengan himpunan 33 mata manakala The Toffees di tempat keenam (22 mata).

Pada aksi terakhir 10 Disember lalu di Anfield, kedua-dua pasukan terikat 1-1 manakala dalam saingan Piala FA, 6 Januari lalu di gelanggang sama The Reds menang 2-1.

Penulis jangkakan saingan kekal sengit berikutan Everton kian menyerlah kebelakangan ini. Dalam pada itu, aksi tumpuan minggu ini pastinya membabitkan perlawanan antara Arsenal dan Tottenham Hotspur di Emirates.

Satu lagi perlawanan jiran tetangga London Utara atau North London Derby ini sudah pasti bakal menghangatkan lagi saingan EPL minggu ini.

The Gunners selaku tuan rumah sudah pasti tampil dengan semangat membara selepas cemerlang di Liga Europa apabila menewaskan jaguh Ukraine, Vorskla Poltava, 3-0 di laman lawannya itu kelmarin.

Spurs turut berada dalam mood sama, selepas melakukan kebangkitan menewaskan Inter Milan 1-0 pada pertengahan minggu untuk menghidupkan semula peluang mara ke peringkat kalah mata Liga Juara-Juara.

Spurs dan Inter kini memiliki tujuh mata, untuk masing-berada di tangga kedua dan ketiga Kumpulan B. Kedua-dua pasukan kini perlu memenangi aksi terakhir untuk mengiringi Barcelona ke peringkat seterusnya.

Dalam saingan liga, Spurs berada di tangga ketiga dengan himpunan 30 mata, hanya ketinggalan tiga mata di belakang Liverpool dan lima mata di belakang pendahulu, Manchester City. Arsenal pula berada di tangga kelima dengan 27 mata.

Pada aksi terakhir di Emirates, 18 November 2017, tuan rumah mengatasi Tottenham, 2-0 manakala di Wembley, 10 Februari 2018, Spurs menewaska Arsenal 1-0.

Bagi aksi ini, sukar untuk meramalkan kelab mana bakal mendominasi aksi jika melihat kepada prestasi semasa. Minggu lalu, Spurs mencetuskan kecewa kepada Maurizio Sarri apabila Chelsea tewas 1-3 di Wembley yang sekali gus menyaksikan rekod tanpa kalah The Blues lebur.

Dengan kemenangan terbaharu ke atas satu lagi kelab gergasi iaitu Inter, Spurs kelihatannya seperti berada di awangan.

Arsenal di bawah bimbingan Unai Emery setakat ini sudah berjaya mengekalkan rekod 18 perlawanan tanpa kalah termasuk membelasah Vorskala Poltava kelmarin. Keputusan seri mungkin terbaik untuk perlawanan ini.

Sementara itu, City yang cemerlang di Liga Juara-Juara apabila mara ke peringkat seterusnya selepas mendominasi Kumpulan F dijangka tiada masalah untuk mengenepikan cabaran Bournemouth apabila menyambut kunjungan pasukan pertengahan liga itu jam 11 malam ini waktu Malaysia.

Chelsea pula yang menewaskan juara Greece, PAOK FC 4-0 pada saingan Liga Europa dijangka mampu mengutip mata penuh apabila menerima kedatangan Fulham yang dibimbing Claudio Ranierri esok.

Manchester United yang turut mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara selepas mengatasi Young Boys, 1-0, sebelum dibayangi kontroversi pembimbingnya, Jose Mourinho membaling botol mimuman, harus tiada masalah untuk melakar kemenangan ke atas Southampton di St Marys awal pagi esok, waktu Malaysia selepas kecewa diikat Crystal Palace di Old Trafford minggu lalu. Selamat menonton.

Ramalan Minggu Ini

Cardiff 2 Wolverhampton 1

Man City 4 Bournemouth 1

Leicester 2 Watford 2

Crystal Palace 1 Burnley 1

Newcastle 2 West Ham 2

Huddersfield 2 Brighton 2

Southampton 1 Man United 2

Chelsea 3 Fulham 1

Arsenal 1 Tottenham 1

Liverpool 1 Everton 1

873 dibaca
Berita Harian X