Khamis, 29 November 2018 | 3:16pm

Jualan tiket Piala AFF laris

KUALA LUMPUR: Ibarat pisang goreng panas!

Itulah yang dapat digambarkan mengenai jualan tiket perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF antara Malaysia menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Berdasarkan tinjauan, penyokong yang tidak mahu ketinggalan menyaksikan perlawanan itu sudah mula membanjiri pekarangan stadium sejak awal pagi sebelum kaunter dibuka jam 10 pagi.

Pekarangan stadium turut dimeriahkan dengan gelagat dan sorakan penyokong selain  peniaga yang mengambil kesempatan menjual pelbagai barangan termasuklah jersi pasukan kebangsaan.

Malah, pujian wajar diberikan kepada penyokong yang tertib beratur untuk mendapatkan tiket masing-masing sekali gus tiada insiden tidak diingini berlaku.


PEMINAT yang membeli tiket separuh akhir Piala AFF bagi pusingan pertama perlawanan diantara Malaysia menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil. - NSTP/Azhar Ramli

Penyokong setia Harimau Malaya, Muhammad Shahril Mohamed Abdul Nasir ketika ditemui berkata, jualan tiket berjalan lancar sekali gus berharap sokongan padu penyokong mampu meningkatkan moral pemain pada perlawanan Sabtu ini.

“Proses pembelian agak lancar hari ini, malah saya tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan tiket, hanya dalam masa 35 minit. Alhamdulillah.

“Saya berharap Malaysia mampu menundukkan Thailand dengan keputusan 2-0, tapi dalam masa sama barisan pertahanan negara perlu lebih mantap untuk mengawal pergerakan penyerang Thailand,” kata Shahril.

Semalam, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata selepas 40,000 tiket habis dijual dalam tempoh 48 jam secara dalam talian pada Isnin lalu, baki 40,000 keping lagi akan dijual di kaunter tiket Stadium Nasional Bukit Jalil dan premis terpilih Al-Ikhsan Sports, hari ini.

“Kaunter tiket di Stadium Nasional akan menjual 30,000 tiket dan premis terpilih Al-Ikhsan Sports sebanyak 10,000 keping sehingga ia habis terjual," katanya.

Tiket separuh akhir pertama Piala AFF  dijual pada harga RM40 untuk tempat duduk berbumbung, RM30 untuk tempat duduk terbuka dan RM5 untuk kanak-kanak.

2752 dibaca
PEMINAT yang membeli tiket separuh akhir Piala AFF bagi pusingan pertama perlawanan diantara Malaysia menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil. - NSTP/Azhar Ramli
ANTARA peminat beratur untuk membeli tiket separuh akhir Piala AFF bagi pusingan pertama perlawanan diantara Malaysia menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil. - NSTP/Azhar Ramli
Berita Harian X