Rabu, 28 November 2018 | 1:13am
PEMAIN pertahanan Tottenham Hotspur, Jan Vertonghen (kiri) ketika sesi latihan bersama rakan sepasukan Christian Eriksen di London. - Foto Reuters

Vertonghen sedia perkukuh benteng hadapi Inter

LONDON: Pertahanan Tottenham Hotspur, Jan Vertonghen boleh membuat kemunculan pertama selepas hampir dua bulan berdepan Inter Milan pada saingan Liga Juara-Juara di Wembley awal pagi Khamis ini selepas pulih daripada kecederaan hamstring, kata pengurus, Mauricio Pochettino.

Berita itu memberi suntikan buat Tottenham, yang perlu menewaskan Inter untuk memberi harapan mara dari Kumpulan B, kerana ketika ini mereka berkedudukan ketiga di belakang Barcelona dan pasukan Itali itu.

Vertonghen menjadi tonggak pertahanan Pochettino sejak beberapa musim lalu bersama rakan sepasukan Belgium, Toby Alderweireld, namun tidak bermain sejak Spurs menewaskan Huddersfield Town pada 29 September.

“Jan sudah sedia untuk bermain menentang Chelsea (pada Sabtu) tetapi keputusan saya ialah (Juan) Foyth dan Toby. Dia sudah sedia untuk bermain. Dia bekerja keras dalam tiga atau empat minggu,” kata Pochettino hari ini.

Pemain Argentina, Foyth bukanlah sebahagian daripada skuad Liga Juara-Juara Tottenham manakala rakan di pertahanan tengah Davinson Sanchez, yang boleh bermain, mengalami kecederaan hamstring, jadi kepulangan Vertonghen memang dinantikan.

Pochettino juga mengharapkan persembahan baik daripada pemain tengah antarabangsa England, Dele Alli, sambil berkata pemain berusia 22 tahun itu akan bermain paling baik jika cabarannya lebih besar.

Alli menjaringkan dua gol buat Tottenham dalam Liga Perdana musim ini termasuk ketika menang 3-1 mengatasi pencabar dari London, Chelsea minggu lalu, namun masih belum menyerlah pada saingan Eropah. - Reuters 

130 dibaca
Berita Harian X