Selasa, 27 November 2018 | 12:30pm
GAMBAR fail, Juan Foyth (kanan) cuba menghalang pemain Chelsea, Alvaro Morata pada perlawanan Liga Perdana Inggeris Sabtu lalu. - Foto Reuters

Foyth idam aksi Liga Juara-Juara

LONDON: Bintang muda Argentina, Juan Foyth mengingatkan penyokong Tottenham Hotspur yang dia tidak dapat beraksi untuk perlawanan Liga Juara-Juara menentang Inter Milan, awal pagi Khamis ini.

Spurs akan menanti kunjungan kelab gergasi Itali itu di Wembley untuk perlawanan penting, dengan hanya kemenangan akan menghidupkan peluang mereka layak ke pusingan kalah mati.

Antara pemain yang tidak dapat diturunkan Spurs untuk perlawanan ini adalah Foyth, yang tidak disenaraikan oleh pengendali, Mauricio Pochettino dalam skuad 22 pemain di pentas Eropah ini.

Dia menyertai Georges-Kevin NKoudou dan Vincent Janssen yang digugurkan untuk saingan di peringkat kumpulan, tetapi berpeluang kembali bersama skuad jika Spurs mara ke pusingan seterusnya.

Foyth tampil cemerlang di benteng pertahanan Spurs dalam aksi liga sejak beberapa minggu lalu, termasuk menjaringkan gol kemenangan ke atas Crystal Palace.

Walaupun tidak berpeluang berdepan Inter, Foyth yakin siapa pun yang diturunkan mampu mengekang asakan lawannya itu.

Jan Vertonghen yang baru pulih daripada kecederaan hamstring dijangka bergandingan dengan Toby Alderweireld.

“Saya tidak dapat beraksi menentang Inter Milan kerana saya tidak ada dalam senarai Liga Juara-Juara dan bagi aksi menentang Arsenal, pengendali akan memutuskan siapa akan bermain,” kata Foyth.

“Apa pun keputusannya, saya sentiasa menyokong pasukan dan akan memberikan aksi terbaik saya jika diturunkan.

“Saya berterima kasih kepada Pochettino di atas peluang yang diberikan. Saya gembira kami menang tiga perlawanan terakhir ini.” – AGENSI

 

 

234 dibaca
Berita Harian X