Ahad, 25 November 2018 | 6:05pm
GELAGAT penyokong Malaysia ketika menyaksikan perlawanan antara Malaysia dan Myanmar pada aksi terakhir Kumpulan A Piala AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi. - Foto Asyraf Hamzah

Penyokong terus jadi pemain ke-12

KUALA LUMPUR: Penyokong setia skuad Harimau Malaya berjanji untuk terus memainkan peranan sebagai ‘pemain ke-12’ dengan memberikan sokongan tidak berbelah bagi pada separuh akhir Piala AFF, Sabtu ini.

Justeru, Pengerusi Empire of Port Klang (EOPK), Mohd Fairuz Rosly sudah bersiap sedia untuk turun ke Stadium Nasional, Bukit Jalil dan dia mengakui betapa sokongan dan laungan kata-kata semangat penyokong menjadi motivasi terbesar buat pemain yang beraksi di tengah padang.

“Syukur kerana skuad negara berjaya mengesahkan tempat ke separuh akhir. Sebagai penyokong setia, saya amat teruja dengan peningkatan ditunjukkan oleh pemain selain penuh berdisiplin.

“Saya akan terus bersama pemain negara pada aksi separuh akhir nanti. Selepas berjaya mengharungi aksi peringkat kumpulan, saya mengharapkan mereka layak ke final sekali gus bergelar juara Asia Tenggara,” katanya.

Sementara itu, ahli Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Mohd Ramlee Nekmat berharap pemain negara dapat meneruskan momentum kemenangan bagi memudahkan laluan mereka menempah tiket ke final Piala AFF.

“Sebagai penyokong, sudah tentu saya bangga kerana pasukan negara ke separuh akhir. Saya harap pemain akan menunjukkan semangat juang sama tak kira pasukan mana yang akan mereka temui nanti.

“Pemain memperagakan perubahan yang drastik apabila begitu bersungguh-sungguh tanpa mengira penat lelah pada aksi malam tadi. Semoga juara akan menjadi milik kita,” katanya.

Terdahulu, lebih 83,000 penyokong membanjiri Stadium Nasional pada aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Myanmar, malam tadi.

Sokongan padu penyokong khususnya daripada kumpulan penyokong tegar, Ultras Malaya nyata membakar semangat pemain hingga anak buah Tan Cheng Hoe berjaya menundukkan Myanmar 3-0 sekali gus mara ke separuh akhir Piala AFF.

Dengan aksi separuh akhir pertama berlangsung di laman sendiri, sudah tentu sokongan padu terus ditagih pemain negara dalam usaha mencari kelebihan untuk dibawa ke separuh akhir kedua, 5 Disember ini.

Berita Harian X