Sabtu, 24 November 2018 | 5:19pm
B Sathianathan. - Foto Saddam Yusoff
Wan Jamak Wan Hassan. - Foto Azren Jamaludin

Usah gopoh, manfaat peluang terhidang

KUALA LUMPUR: Usah gopoh dan manfaat setiap peluang yang dicipta!

Itu pesanan daripada dua bekas pengendali skuad kebangsaan B Sathianathan dan Wan Jamak Wan Hassan kepada pemain Harimau Malaya menjelang aksi hidup mati Piala AFF berdepan Myanmar di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Sathianathan menganggap anak buah Tan Cheng Hoe tidak berdepan masalah untuk menundukkan Myanmar sekiranya mereka mampu menggunakan setiap kelebihan dan mengurangkan kesilapan.

Malah, beliau yang akan membimbing Selangor musim depan berharap penyokong dapat memainkan peranan besar dalam membantu misi wajib menang ke atas Myanmar.

“Berdasarkan pengalaman ketika menjadi jurulatih Harimau Malaya, saya nampak selalunya bila stadium dibanjiri penyokong sendiri, pemain akan lebih bersemangat. Jadi peranan penyokong sangat penting dari awal hingga tamat permainan.

“Tapi pemain pun mesti buat kerja mereka dengan bermain bersungguh-sungguh dan saya tak nampak Myanmar boleh kalahkan kita. Walaupun tewas kepada Vietnam sebelum ini, tapi dari segi penguasaan bola kita bagus.

“Cuma diharapkan pemain tidak gopoh terutama di bahagian serangan. Jadi mereka perlu main seperti biasa dan saya fikir Malaysia boleh menang sekurang-kurangnya 1-0,” katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

Malaysia yang mengumpul enam mata selepas tiga perlawanan hanya ketinggalan satu mata di belakang Myanmar dan Vietnam yang menghuni dua tangga teratas Kumpulan A.

Aksi terakhir peringkat kumpulan malam ini menjadi penentu sama ada Harimau Malaya atau Myanmar melangkah ke separuh akhir.

Sementara itu, Wan Jamak menjelaskan jentera serangan Harimau Malaya perlu bertindak lebih tajam sekiranya mahu memastikan tiga mata penting diraih di gelanggang sendiri.

“Saya rasa peluang 50-50 sebab jika lihat corak permainan Myanmar mereka sudah meningkat dan persembahan Malaysia juga bagus. Cuma saya harap pemain dapat memanfaatkan segala peluang terhidang.

“Melihat kepada perlawanan sebelum ini (berdepan Vietnam) penguasaan bola mereka bagus, tapi masalahnya tidak berjaya menjaringkan gol kerana apa yang penting adalah keputusan.

“Jadi kalau peluang yang ada dapat disempurnakan dengan baik, saya yakin mereka boleh menewaskan Myanmar. Tapi pertahanan juga perlu mengelak daripada melakukan kesilapan mudah yang boleh memberi ruang kepada pasukan lawan menjaringkan gol.

“Saya percaya jika semua pemain dapat mengikut arahan jurulatih mereka boleh layak ke separuh akhir dan dari aspek penyokong yang ramai pula saya rasa pemain tidak akan berdepan tekanan kerana mereka sudah didedahkan dengan perkara itu,” katanya.

Berita Harian X