Sabtu, 24 November 2018 | 12:24pm
GAMBAR fail, Alexis Sanchez mewakili negaranya, Chile ketika menentang Honduras pada perlawanan persahabatan, Selasa lalu. - Foto REUTERS

Sanchez tak akan tinggalkan United: Mourinho

MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho tidak percaya Alexis Sanchez akan meninggalkan pasukan pada Januari ini tetapi tidak akan menahan jika pemain Chile itu mahu keluar daripada Old Trafford.

Sanchez bergelut dengan prestasi sejak berpindah daripada Arsenal dan hanya memanaskan bangku simpanan ketika tewas 3-1 kepada Manchester City sebelum rehat antarabangsa.

Timbul spekulasi pemain berusia 29 tahun itu yang hanya menjaringkan satu gol dalam 11 penampilan musim ini akan meninggalkan United apabila jendela perpindahan dibuka.

"Saya tak fikir kerana dia tak pernah beritahu saya mahu tinggalkan United atau tidak gembira di sini,” kata Mourinho dalam sidang akhbar awal pagi tadi.

Bagaimanapun, Mourinho sebelum ini beberapa kali menyatakan beliau tidak akan terus menyimpan pemain yang tidak gembira bersama kelab dan pengurus berusia 55 tahun itu memberi bayangan sama ke atas Sanchez.

"Itu cara saya,” katanya. “Ia ada kaitan dengan falsafah saya.”

Sanchez kerap masuk dan keluar dalam skuad Mourinho musim ini dan hanya tampil dalam satu daripada enam perlawanan terakhir liga United tetapi menurut Mourinho bekas pemain Barcelona itu menjadi semakin baik.

"Dia makin meningkat sama seperti pasukan,” kata pengurus United itu. - AGENSI

Berita Harian X