Sabtu, 24 November 2018 | 12:30am
MAURICIO Pochettino (kanan) dan Maurizio Sarri.

Mampukah Chelsea bikin Spurs gigit jari di Wembley?

KOLUM APA KATA EPL

SAINGAN Liga Perdana Inggeris (EPL) kembali minggu ini selepas berhenti rehat dua minggu bagi memberi laluan kepada Liga Negara Eropah dan aksi persahabatan antarabangsa. Ini adalah minggu ke-13, minggu yang mungkin menyaksikan sedikit perubahan kedudukan liga.

Aksi tumpuan minggu ini membabitkan pertemuan dua pasukan lima terbaik liga iaitu Tottenham Hotspur dan Chelsea di Wembley. Ketika ini, Spurs menduduki tangga keempat liga dengan himpunan 27 mata, hanya ketinggalan satu mata di belakang lawannya itu selepas 12 perlawanan.

Dengan kedudukan mata yang sangat rapat, kedua-dua pasukan sudah pasti enggan tercicir mata pada aksi London derby atau tetangga itu. Spurs terutamanya sangat mendambakan kemenangan untuk memintas lawannya itu tatkala The Blues sendiri perlu mata penuh untuk terus menekan Manchester City dipersada liga dan Liverpool di tangga kedua.

Ketika ini City di depan dengan himpunan 32 mata, manakala The Reds (30).

Bagi Spurs, yang dipimpin Mauricio Pochettino, pertemuan ini adalah juga peluang terbaik buat mereka untuk memusnahkan rekod cemerlang Chelsea yang tidak pernah tewas sehingga kini.

Namun satu `penyakit’ melanda pasukan ini, apabila mereka dikatakan seakan-akan berdepan `mental block’ apabila berdepan lawannya itu.

Dalam tujuh aksi terakhir, mereka berjaya menang tiga. Pun begitu, tiga kemenangan itu berjaya dicapai hanya selepas 49 perlawanan keseluruhan.

Kemenangan dilaman sendiri sangat diperlukan oleh Pochettino. Ia bagi menyuntik motivasi anak buahnya apabila menyambut kunjungan Inter Milan dalam saingan Liga Juara-Juara minggu depan yang turut memerlukan mereka meraih tiga mata bagi menghidupkan saki baki peluang mara.

Selepas itu, satu lagi ujian getir turut menunggu apabila berdepan tetangga di London iaitu Arsenal.

Sebaliknya, The Blues tidak berdepan tekanan. Anak buah Maurizio Sarri ketika ini selesa mendahului Kumpulan L saingan Liga Europa dengan himpunan 12 mata selepas empat aksi dan dijangka mudah mengenepikan cabaran kelab PAOK pada awal pagi Jumaat ini. Dengan moral pemain kekal tinggi, penulis jangkakan Spurs sukar untuk meraih mata penuh aksi ini. Seri mungkin terbaik untuk pasukan Pochettino.

Sementara itu, City dijangka tidak berdepan masalah untuk mengekalkan penguasaan di persada liga meskipun berdepan dengan bekas bos skuad bimbingannya, Manuel Pellegrini yang kini melatih West Ham.

Saingan di Stadium London itu, harus menjadi titik mula Pep Guardiola menunjukkan taringnya yang sebenar sebagai pengurus terbaik liga ketika ini.

Liverpool yang menjadi pilihan merangkul kejuaraan musim ini, turut dijangka tiada masalah mengutip mata penuh apabila bertandang ke Stadium Vicarage Road menentang Watford. Tanpa sebarang tekanan, Jurgen Klopp harus tidak dikejutkan oleh pasukan pertengahan liga itu andai tidak mahu melihat Chelsea memintas mereka.

Selain itu, perlawanan minggu ini juga akan menyaksikan kemunculan semula bekas pengendali Leicester City, Claudio Ranieri yang kembali sebagai jurulatih Fulham. Dia diberi mandat untuk menyelamatkan kelab bermasalah itu bagi mengelak tersingkir daripada saingan liga musim depan.

Ketika ini kelab berkenaan, menduduki tangga tercorot dengan lima mata. Mampukah Ranieri menyelamatkan kelab itu dengan Southampton menjadi pasukan pertama sebagai penghalang minggu ini? Selamat menonton.

Ramalan Minggu Ini

West Ham 1 Man City 4

Everton 2 Cardiff City 1

Brighton 2 Leicester 1

Man United 2 Crystal Palace 1

Watford 0 Liverpool 3

Fulham 2 Southampton 1

Tottenham 1 Chelsea 1

Bournemouth 0 Arsenal 2

Wolves 1 Huddersfield 1

Burnley 2 Newcastle 2

* Penulis adalah Penolong Editor Sukan Convergene NSTP

430 dibaca
Berita Harian X