Jumaat, 23 November 2018 | 12:53pm
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim (tiga kiri) dan Jurulatih Terengganu FC (TFC) Irfan Bakti Abdul Salim (dua kiri) bersama Ahmad Syamin Yahaya (tengah) pada majlis Menandatangani Kontrak Pemain Baru TFC 2019, di Pejabat PBSNT. - Foto Foto Ghazali Kori

Pemain Asia Tengah buruan terakhir TFC

KUALA TERENGGANU: Pemain negara Asia Tengah menjadi buruan terakhir skuad Terengganu FC (TFC) dalam misi memperkuatkan pasukan menghadapi musim baharu 2019.

Sebelum ini skuad Penyu mengekalkan tonggak import musim ini iaitu Lee Tuck, Kipre Tchetche, Igor Zonjic dan Thierry Chantha Bin.

Ketua jurulatih TFC, Irfan Bakti Abu Salim berkata, pemain kuota Asia yang bakal beraksi di posisi tengah itu dijangka tiba pertengahan bulan depan kerana masih mempunyai kontrak bersama pasukan lamanya.

"Kita sudah berunding dengan pemain itu yang belum pernah bermain dalam Liga Malaysia (Liga M), tetapi buat masa ini nama pemain itu tidak boleh diumum lagi kerana masih terikat dengan pasukannya.:

"Jika semua berjalan lancar pemain yang menggantikan tempat Do Dong Hyun yang tidak disambung kontrak akan diumumkan pada pertengahan Disember ini," kata Irfan Bakti ketika ditemui selepas majlis menandatangani kontrak 10 pemain baharu skuad Penyu itu di pejabat Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) petang semalam.

Sepuluh pemain baharu berkenaan ialah Ahmad Shamim Yahaya, Muhamad Khairu Azrin Khazali, Ilham Amirullah Razali, Khairul Anwar Shahruddin, Mohd Khairul Izuan Rosli, Azalinullah Mohd Alias, Haidir Suhaini, Shahrin Sapein dan Muhammad Mohd Fauzi selain penjaga gol skuad Piala Presiden negeri, Shafawi Mohamad.

Pemain sedia ada yang dikekalkan ialah pemain pertahanan Mohd Kamal Azizi Mohd Zabri, Adib Aizuddin Ab Latif, Hasnizaidi Jamian, Nasrullah Haniff Johan, Mohd Radhi Mohd Yusof dan Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris.

Turut dikekalkan penyerang berpengalaman, Mohd Ashari Shamsudin selain penjaga gol, Wan Muhammad Azraie Wan Teh dan Mohd Suffian Abdul Rahman serta pemain tengah Mohd Shahrul Aizad Zulkufli dan Abdul Malik Mat Ariff.

Berita Harian X