Jumaat, 23 November 2018 | 8:16am
Pertahanan Tottenham, Jan Vertonghen. - Foto Getty Image

Vertonghen kembali kekang Chelsea

LONDON: Jan Vertonghen mencetuskan khabar gembira buat Tottenham apabila kembali cergas sepenuhnya menjelang pertembungan getir esok berdepan Chelsea.

Pertahanan antarabangsa Belgium itu terlepas sembilan aksi terakhir Spurs susulan mengalami masalah hamstring ketika tewas kepada Huddersfield pada awal musim ini.

Kepulangan tepatnya itu adalah satu rangsangan buat skuad Mauricio Pochettino yang kehilangan khidmat Davinson Sanchez selepas mengalami kecederaan sama.

Juan Foyth yang menggalas tanggungjawab menggantikan Sanchez dan menghasilkan jaringan tunggal ketika mengatasi Crystal Palace sebelum rehat antarabangsa muncul antara tiga pemain yang masih belum tiba di London sehingga pagi semalam.

Vertonghen dijangka akan dipadankan semula dengan Toby Alderweireld di posisi pertahanan tengah Spurs.

“Adalah penting untuk semua pemain kembali cergas,” kata Pochettino. “Jan pemain penting bagi kami. Ia satu berita menggembirakan dia akan terbabit semula.

“Dia menjalani latihan dengan baik sepanjang tempoh dua minggu terakhir. Malah Davinson pun semakin pulih.

“Kami perlu melihat sama ada dia akan terlibat dengan perlawanan esok. Kami akan menhadapi tempoh yang sibuk selepas ini, katanya.

Tottenham berdepan Inter Milan pada awal pagi Khamis depan dengan mereka wajib menang untuk terus menghidupkan peluang mara ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara.

Kemudiannya perlu mengharungi aksi tetangga London menentang Arsenal, namun apapun fokus mereka kini lebih memusat kepada pertemuan dengan Chelsea.

Andai menang, mereka berpeluang memintas The Blues di tangga ketiga EPL. –  AGENSI

Berita Harian X