Rabu, 21 November 2018 | 11:59am
DOLLAH Salleh. NSTP/Owee Ah Chun

Taktikal Dollah penentu barisan Tok Gajah

KUANTAN: Taktikal ketua jurulatih, Dollah Salleh bakal menentukan barisan pemain yang akan memperkasakan skuad Pahang bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan. 

Pengurus Tok Gajah Datuk Mohammed Sufian Awang berkata, barisan kepimpinan tertinggi Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) dan Dollah kini dalam peringkat menilai pemain. 

"Ini kerana kami akan pastikan barisan pemain lebih mantap untuk melakar kejayaan membanggakan sekali gus meletakkan Pahang pada kedudukan terbaik musim depan. 

"Apa yang boleh saya katakan rata-rata pemain yang beraksi musim ini kekal bersama pasukan tetapi tidak menolak kemungkinan berlaku penambahbaikan dalam senarai pemain import.” 

"Namun, segala keputusan bergantung kepada pengurusan kerana saingan Liga M musim depan dijangka lebih mencabar," katanya. 

Ditanya kemungkinan skuad Tok Gajah akan menyenaraikan pemain tempatan baharu, Mohammed Sufian berkata, beberapa pemain berminat untuk menyarung jersi Pahang. 

Namun, katanya, tiada sebarang kata putus untuk mendapatkan khidmat mereka kerana ia terpeluang kepada taktikal skuad berkenaan. 

"Segalanya diserahkan kepada jurulatih (Dollah) kerana beliau lebih mengetahui untuk memperkuatkan jentera serangan, tengah dan pertahanan musim hadapan," katanya. 

Musim ini, Pahang mencapai sasaran menjulang satu piala selepas dinobatkan juara Piala FA. Pencapaian dalam Liga Super pula ialah di tangga keempat dan terkandas di suku akhir Piala Malaysia.

2070 dibaca
Berita Harian X