Khamis, 15 November 2018 | 4:57pm
KETUA jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe dan ketua jurulatih Vietnam, Park Hang-seo pada sidang media praperlawanan di Ibu Pejabat VFF, hari ini. - Foto ihsan Facebook FAM

Vietnam enggan terpedaya kata-kata manis Cheng Hoe

HANOI: Jurulatih Vietnam Park Hang-seo sudah awal-awal lagi menghidu perangkap yang cuba dipasang pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menjelang pertembungan Kumpulan A Piala AFF di Stadium Nasional My Dinh, malam esok.

Beliau percaya, kenyataan Cheng Hoe yang tidak mahu meletakkan harapan tinggi kepada barisannnya, sebaliknya sudah memadai dengan mencatat keputusan seri, hanya mahu menyedapkan hati pasukan tuan rumah.

“Saya tak fikir beliau (Cheng Hoe) hanya mahu satu mata, beliau mesti datang ke sini untuk meraih kemenangan. Tidak kisah apa yang beliau katakan, kami tetap akan bersedia dan menyerang habis-habisan,” katanya dalam sidang media praperlawanan hari ini.

Vietnam turun dengan reputasi hebat pada kempen kali ini selaku pasukan terbaik Asia Tenggara di ranking 102 dunia berbanding Malaysia 169.

Malah, skuad The Golden Dragons itu menurunkan skuad generasi emas mereka apabila 15 pemain skuad bawah 23 tahun yang muncul naib juara Kejohanan AFC di China pada Januari lalu bergabung dengan lapan pemain senior.

Bagaimanapun, Hang-seo tetap berwaspada dengan ancaman Harimau Malaya yang menewaskan Vietnam 4-2 pada aksi separuh akhir kedua di Hanoi pada 2014 meskipun mereka menebus semula pada saingan peringkat kumpulan di Yangon dengan kemenangan 1-0 pada 2016.

Pengendali kelahiran Korea Selatan itu berkata, mereka perlu segera memperbaiki kelemahan untuk memburu kemenangan kedua selepas membenam Laos 3-0 pada aksi pembukaan minggu lalu.

“Pada perlawanan dengan Laos, kami menghadapi masalah di bahagian pertahanan dan ketika melakukan hantaran. Kami sudah menjalani latihan dan harap kami boleh beraksi lebih baik selepas ini,” katanya.

Berita Harian X