Selasa, 13 November 2018 | 3:48pm
JURULATIH Malaysia, Tan Cheng Hoe. - Foto Asyraf Hamzah

Harimau Malaya intai tiket separuh akhir di Hanoi

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya tidak mahu menunggu lama untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir apabila misi mereka ke Hanoi esok untuk memburu kemenangan ketiga ke atas Vietnam dalam saingan Kumpulan A Piala AFF 2018.

Selepas merekod dua kemenangan berturut-turut ke atas Kemboja 1-0 dan Laos 3-1, semangat anak buah Tan Cheng Hoe semakin membara untuk berdepan Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Jumaat ini.

Tiga mata yang bakal dibawa pulang sudah cukup mengesahkan langkah Malaysia ke separuh akhir meskipun masih berbaki satu perlawanan dengan Myanmar di Stadium Nasional Bukit Jalil, 24 November ini.

Bagaimanapun, ia bukan tugas mudah kerana Vietnam juara 2008 dan menewaskan skuad negara 1-0 dalam aksi peringkat kumpulan dua tahun lalu untuk mara ke separuh akhir.

"Vietnam pasukan pilihan dan sudah tentu kita kena buat perubahan dalam cara permainan kita nanti. Kita juga tidak boleh hanya bertahan selama 90 minit permainan kerana Vietnam memiliki corak hantaran yang baik.

"Kita juga perlu menyerang untuk memenangi perlawanan itu," katanya dalam sidang media selepas aksi menentang Laos malam tadi.

Malaysia kini mengungguli Kumpulan A dengan mengumpul enam mata diikuti Myanmar dan Vietnam tiga mata namun dua pencabar terkuat itu beraksi kurang satu perlawanan.

Pada pertemuan terakhir kedua-dua pasukan di Hanoi dalam saingan separuh akhir Piala AFF 2014, skuad Harimau Malaya kendalian Dollah Salleh menewaskan pasukan tuan rumah 4-2 untuk mara ke final menerusi agregat 5-4.

Mengulas mengenai ketiadaan Mohamadou Sumareh dalam perlawanan semalam, Cheng Hoe berkata, beliau tidak mahu mengambil risiko menurunkan pemain naturalisasi itu yang mengalami hamstring pada sesi latihan.

"Sumareh mengalami hamstring, saya tidak mahu mengambil risiko dan saya harap dia akan kembali pulih dengan segera bagi perlawanan seterusnya," katanya.

 

Berita Harian X