Ahad, 11 November 2018 | 3:37pm
PENJAGA gol utama Terengganu FC (TFC), Mohd Suffian Abd Rahman. - Foto Rozainah Zakaria

Suffian belum buat keputusan

KUALA TERENGGANU: Penjaga gol utama Terengganu FC (TFC), Mohd Suffian Abd Rahman masih berbelah bagi sama ada akan terus beraksi mewarnai Liga Malaysia (Liga M) musim depan sebagai pemain, jurulatih atau bersara.

Ini kerana, pemain yang lebih mesra dipanggil 'Tiger' itu bakal mencecah usia 41 tahun pada musim depan, namun setakat ini difahamkan TFC masih memerlukan khidmatnya bagi mengharungi aksi Liga M.

"Saya belum menandatangani kontrak dengan mana-mana pasukan dan belum membuat keputusan rasmi sama ada akan terus kekal bersama TFC atau sebaliknya.

"Setakat ini, skuad TFC saja yang menawarkan kontrak baharu, tetapi saya masih berunding dengan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT)," katanya yang terkejut kerana namanya tular di laman sosial - sebagai pemain pilihan yang kekal bersama skuad Penyu musim depan.

Musim ini, bekas pemain kebangsaan itu beraksi cemerlang dan kerap disenaraikan dalam kesebelasan utama pasukan, selain menjadi pemain kesayangan peminat setia skuad hitam putih itu.

Bagaimanapun pemain yang menjadikan bekas penjaga gol kebangsaan Itali, Gianluigi Buffon sebagai idolanya melahirkan nada kecewa kerana tidak berupaya membantu skuadnya muncul juara Piala Malaysia musim ini.

TFC tumpas 1-4 kepada Perak menerusi penentuan sepakan penalti, selepas terikat 3-3 sehingga masa tambahan, sekali gus gagal menambah koleksi kedua peribadi menjulang trofi piala berprestij itu.

Suffian yang pernah mewakili lapan pasukan - Negeri Sembilan, Telekom Melaka, Selangor, Kuala Muda Naza FC, Sarawak, Pahang, FELDA United dan Sime Darby FC berharap dia mampu membuat keputusan yang tepat demi kariernya.

"Mungkin dalam masa terdekat saya akan buat keputusan terbaik, saya harap peminat setia skuad TFC bersabar," kata Suffian sudah bergelar jurulatih sebelum dipancing TFC pertengahan musim lalu untuk menjaga gawang skuad itu.

Setakat ini antara pemain yang sudah mengumumkan akan kekal bersama TFC termasuk empat awang import iaitu Kipre Tchetche, Lee Tuck, Igor Zonjic dan Thierry Chantha Bin.

1272 dibaca
Berita Harian X