Sabtu, 10 November 2018 | 12:55am
MARCO Reus - Foto REUTERS

Boateng, Reus alami nasib berbeza

BERLIN: Jerome Boateng muncul satu-satunya nama besar yang diketepikan pengendali Jerman Joachim Loew bagi aksi antarabangsa menentang Russia dan Belanda ketika pemain sayap Marco Reus kembali disenaraikan.

Skuad diberi jolokan Die Mannschaft akan berdepan Russia pada 15 November ini sebelum melayan Belanda empat hari kemudian dalam usaha mahu mengelak penyingkiran Liga Negara-Negara.

"Saya sudah bercakap dengan Jerome. Saya yakin banyak manfaat akan diperoleh  olehnya daripada tempoh rehat ini," kata Loew dalam laman web Persatuan Bolasepak Jerman (DBF).

"Saya memberitahunya bahawa kami mempunyai banyak pilihan di posisinya, terutamanya dengan kehadiran pemain muda.

"Sudah tentu mereka masih perlu membuktikan yang mereka boleh mencapai tahap Jerome."

Pengguran mengejut Boateng menimbulkan tanda tanya di Bayern Munich, dengan pengendali gergasi Jerman itu menyifatkan ia sebagai 'sesuatu yang baharu'.

"Ia sesuatu benda yang baharu," katanya.  "Tetapi itu tidak bermakna dia tidak akan terpilih lagi di masa depan. Saya tidak melihat ia sebagai pengakhiran karier Jerome."

Pertahanan berusia 30 tahun itu sudah hampir sedekad beraksi buat Jerman, selain membantu pasukan itu memenangi Piala Dunia 2014.

Reus yang juga kapten Borussia Dortmund pula bangkit daripada masalah kecederaan apabila kembali menyambar tempatnya selepas tampil memukau sepanjang saingan Bundesliga.

Jerman yang dikejutkan dengan penyingkiran awal Piala Dunia 2018, kini berada di tangga tercorot Liga A Kumpulan 1 dengan satu mata daripada tiga perlawanan di belakang peneraju Perancis dan Belanda, kedua. - REUTERS

518 dibaca
Berita Harian X