Sabtu, 10 November 2018 | 12:52am
MOURINHO (kiri) dan Guardiola.

Tuah tarikh 11.11 sebelahi City atau United?

KOLUM APA KATA EPL

Pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City kenduri gol dilaman sendiri pada pertengahan minggu ini selepas membelasah juara Ukraine, Shakhtar Donetsk, 6-0.

Seperti juga saingan domestik, skuad bimbingan Pep Guardiola ini terbukti cemerlang aksi Liga Juara-Juara.

Setakat ini mereka menang tiga daripada empat perlawanan untuk gah menggungguli Kumpulan F.  

Diperingkat domestik, skuad The Citizens mendominasi saingan liga dengan himpunan 29 mata selepas 11 perlawanan, meninggalkan pesaing terdekat, Liverpool dan Chelsea dengan kelebihan dua mata.  

Minggu ini, City bakal berdepan tetangganya, Manchester United pada aksi di Etihad, tengah malam esok waktu Malaysia.

Dengan prestasi yang menyerlah diperingkat Eropah dan tanpa kalah di EPL, mampukah skuad Jose Mourinho mengecewakan lawannya itu?  

United ketika ini menghuni tangga ketujuh liga, ketinggalan sembilan mata di belakang City - kedudukan yang agak jauh bagi seteru tetangga.  

Namun Red Devils tampil ke Etihad dengan moral tinggi selepas menjinakkan Juventus, 2-1 di Turin pada aksi Liga Juara-Juara.

Ini adalah kemenangan keempat berturut-turut mereka selepas berdepan gelora akibat prestasi yoyo hingga menerima kritikan teruk.

 

Mereka merakamkan kemenangan berkenaan dengan bangkit dari ketinggalan termasuk bertemu Juventus.  

Musim lalu, United juga melakukan perkara sama ke atas City di Etihad.

Ketinggalan 0-2, mereka bangkit untuk mencatat kemenangan 3-2 menerusi jaringan Chris Smalling pada saat akhir bagi menangguhkan seketika kejuaraan liga City.

Kejayaan pada April lalu itu pastinya tidak dapat dilupakan oleh Mourinho mahupun Guardiola.  

Sebelum aksi derby atau tetangga ke-177 ini, City hanya mampu menang dua daripada lapan pertemuan.    

Dengan rekod pencapaian kedua-dua pasukan ketika ini, apakah yang boleh dijangkakan?  

Bagi penulis, City berada pada kedudukan terbaik memenangi aksi ini.

Dengan 12 gol dijaringkan menerusi dua aksi terakhir termasuk membelasah Southampton minggu lalu, tiada sebab untuk melihat Raheem Sterling, Sergio Aguero dan Gabriel Jesus untuk gagal merobek gawang David de Gea.  

Pun begitu, dalam masa sama, peluang United untuk mengecewakan City tidak dinafikan, ketika strategi Mourinho memerangkap lawan sukar diteka terutama ketika melakukan kebangkitan luar biasa selepas ketinggalan.

Dengan sentuhan Anthony Martial semakin menjadi bersama Marcus Rashford dan Paul Pogba, Stadium Etihad harus mengharapkan tuah pada tarikh  11.11 itu.  

Sementara itu, Liverpool yang dimalukan Red Star Belgrade, 0-2 pada saingan Liga Juara-Juara seharusnya tiada masalah untuk menjinakkan Fulham di Anfield malam esok bagi mengubat duka sekali gus terus menekan City dipuncak.  

Chelsea yang menang 1-0 ke atas kelab BATE aksi Liga Europa juga dijangka tiada masalah mengutip mata penuh apabila menyambut kunjungan Everton jam 10 malam esok.

Selamat menonton

Ramalan Minggu Ini

Cardiff 1 Brighton 1

Southampton 2 Watford 1

Leicester 2 Burnley 2

Huddersfield 1 West Ham 1

Newcastle 1 Bournemouth1

Crystal Palace 1 Tottenham 2

Liverpool 3 Fulham 1

Chelsea 3 Everton 1

Man City 1 Man United 1

Arsenal 3 Wolves 0

*Penulis adalah Penolong Editor Sukan Convergence NSTP

639 dibaca
Berita Harian X